Utusan Borneo (Sarawak)

Remaja wanita dituduh bunuh suami

-

MUAR: Seorang remaja wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tuduhan membunuh suaminya di Sungai Abong, di sini.

Tertuduh juvana yang berusia 17 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu hanya mengangguk kepala selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top, namun tiada pengakuan direkodkan.

Remaja terbabit didakwa membunuh suaminya yang berusia 28 tahun pada 14 Okt 2017 di sebuah rumah di Jalan Indah, Taman Permata Indah, Sungai Abong kira-kira jam 1.30 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman gantung sampai mati, jika didapati bersalah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Amalina Basirah menetapkan 23 Nov 2017 bagi sebutan semula kes bagi menunggu laporan psikiatri.

Sementara itu di Melaka, gara-gara mencuri pelbagai barangan pasar raya Aeon Ayer Keroh, dua bekas juruwang dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di Ayer Keroh di sini semalam.

Majistret Norina Maludin menjatuhka­n hukuman itu terhadap Nur Hidayu Supian, 23, dan Noor Amalina Zainuddin, 24, selepas mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan berkenaan sebaik kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia