Utusan Borneo (Sarawak)

Penemuan tengkorak, tulang di Tronoh tiada unsur jenayah

-

IPOH: Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun mengesahka­n empat tengkorak dan beberapa tulang manusia yang ditemui di dalam empat tempayan di kawasan bukit berhampira­n Kampung Baru Nalla, Tronoh kelmarin tidak mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Mohd Nasri Omar berkata, tengkorak dan tulang itu kemungkina­n daripada kubur lama yang dikorek secara tidak sengaja.

“Tulang-tulang itu didapati telah (mati) berpuluh-puluh tahun lalu kerana keadaannya yang sudah reput. Tulangtula­ng yang ditemui itu tidak lengkap untuk cukupkan kepada empat manusia dan ada beberapa bahagian tulang lebih daripada sepatutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau berkata, tengkorak dan tulang itu ditemui oleh kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) di dalam empat tempayan yang berada antara tiang elektrik di atas puncak bukit itu pada tengah hari kelmarin, sebelum memaklumka­nnya kepada pihak polis yang bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya puncak bukit itu dikeliling­i ladang sawit yang tidak lagi diusahakan dan di sebelah kiri tiang elektrik terdapat lombong lama yang sudah tidak beroperasi kira-kira 17 tahun serta jirat Cina yang terletak kira-kira 10 kilometer dari lokasi penemuan.

“Penduduk kampung berdekatan juga mendapati mereka tidak pernah mengetahui atau mendengar aktiviti melibatkan pemujaan serta tidak pernah mengetahui sebarang kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan tersebut kerana ia berada jauh dari kawasan perkampung­an,” katanya.

Mohd Nasri berkata penduduk kampung yang terdiri daripada kaum Cina menyatakan kemungkina­n terdapat aktiviti pemindahan tulang-tulang nenek moyang atau saudara yang telah lama meninggal dan ditempatka­n semula di kawasan yang mempunyai ‘feng shui’ yang lebih baik. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia