Utusan Borneo (Sarawak)

Pegawai, anggota bertugas PRU14 dilatih dengan kemahiran tertentu

-

KUCHING: Pegawai dan anggota polis yang ditugaskan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti akan dilatih dengan kemahiran tertentu mengikut tugas yang mereka akan lakukan.

Pengarah Jabatan Keselamata­n Dalam Negeri dan Ketenteram­an Awam (KDNKA) Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata ia bagi memastikan setiap pegawai dan anggota yang terlibat dapat menjalanka­n tugas dengan baik bagi menghadapi PRU.

Selain itu, katanya latihan ketenteram­an awam juga akan dibuat membabitka­n pasukan Light Strike Force (LSF) dan Unit Pencegahan Rusuhan ( PORU) untuk melihat bagaimana mereka respons dengan apa jua keadaan semasa sepanjang tempoh pilihan raya.

“Memang kita pada tahap kesiapsiag­aan yang tinggi untuk menghadapi PRU di mana latihan LSF atau pasukan bertindak kecil dan PORU adalah salah satu komponen penting dalam kami menentukan kami bersedia menghadapi apa jua keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas PGA dan Marin di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching, Jalan Penrissen dekat sini, semalam.

Zulkifli menambah, jumlah anggota yang bertugas semasa PRU juga sudah dimuktamad­kan untuk ditugaskan semasa hari penamaan calon, berkempen dan hari mengundi.

Sementara itu berhubung kegiatan militan di negara ini, beliau berkata ia adalah terkawal di mana polis telah berjaya melakukan tangkapan ke atas individu yang terlibat, sebelum mereka melakukan tindakan keganasan.

“Polis Diraja Malaysia ( PDRM) merupakan antara polis di dunia yang mempunyai kekuatan mengesan awal kegiatan-kegiatan militan.

“Setakat ini, kami telah berjaya menentukan apa juga tindak-tanduk mereka dapat dipantau dan dicantas lebih awal sebelum mereka berjaya melakukan sesuatu yang lebih berbahaya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia