Ketua Pengarah Finas puji kemampuan filem Malaysia di persada global
TOKYO: Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Datuk Fauzi Ayob memuji kemampuan filem terbitan Malaysia hingga berjaya menembusi pasaran global.
Beliau berkata kali ini, filem negara seperti ‘Adiwiraku’ arahan Eric Ong berjaya dalam pemilihan rasmi untuk tayangan dan menembusi slot ‘Crosscut Asia’ bagi filem dari negara-negara Asia pada Festival Filem Antarabangsa Tokyo yang berlangsung di sini hingga 3 Nov ini.
“Ini adalah tayangan perdana filem tersebut di Jepun setelah berjaya mewakili Malaysia pada Phoenix Film Festival Melbourne 2017, 11th Asia Pacific Screen Awards di Australia dan Malaysian Film FestivalSingapore (MFFSG17),” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual khas.
Beliau mengulas penyertaan filem ‘Adiwiraku’ dan beberapa lagi filem terbitan Malaysia yang akan ditayangkan pada Festival Filem Antarabangsa Tokyo di Rappongi Hills di sini hingga 3 Nov ini.
Fauzi berkata kejayaan ‘Adiwiraku’ pada Festival Filem Malaysia (FFM) adalah melalui penjurian pihak industri yang arif, justeru itu, kualiti karya yang bersifat inspirasi dan motivasi tentunya berkualiti khususnya daripada aspek penceritaan yang diangkat daripada kisah sebenar, Cikgu Cheryl Ann Fernando, yang bertugas di sekolah luar bandar.
Beliau berkata elemen ‘citra karya’ iaitu kisah tempatan yang diolah dengan bahasa filem yang universal tentunya mempunyai kekuatan bagi menembusi platform global.
Selain ‘Adiwiraku’, karya anak Malaysia yang bertanding pada Festival Filem Antarabangsa Tokyo adalah filem ‘Aqerat’ yang menyelongkar isu pemerdagangan manusia merentasi sempadan arahan Edmund Yeo yang menjadi finalis bersamasama 14 filem lain dari seluruh dunia bagi merebut Anugerah Grand Prix (Filem Terbaik).
Filem itu terpilih daripada 1, 538 penyertaan mewakili 88 negara selain ia merupakan kejayaan peribadi kedua Edmund setelah filem pertamanya ‘River of Exploding Durians’ bertanding dalam kategori sama pada festival filem itu bagi edisi 2014.
Karya dokumentari beliau yang meceritakan tentang pengarah Allahyarham Yasmin Ahmad, ‘Yasmin-san’, juga dipilih penganjur bagi tayangan khas di bawah segmen ‘Crosscut Asia pada festival itu bagi edisi ke30 tahun ini
Filem arahan Allahyarham Yasmin iaitu ‘Sepet’ pernah memenangi kategori Filem Terbaik (Asia) pada festival sama pada 2005 selain Anugerah Khas bagi filem ‘Muallaf’ pada 2008.
Filem-filem lain yang pernah menyertai Festival Filem Antarabangsa Tokyo ialah ‘Anak Sarawak’ (Datuk Rahim Razali), ‘Terbaik Dari Langit’ (Nik Amir Mustapha), ‘Rain Dogs’ (Ho Yuhang), ‘Gubra’ dan ‘Talentime’ (Yasmin Ahmad).
Majlis perasmian Festival Filem Antarabangsa Tokyo akan berlangsung di EX Theater Rapppongi di sini dengan acara pembukaan karpet merah diadakan di Tower Hall Rappongi. — Bernama