Utusan Borneo (Sarawak)

Duta China ucap selamat tinggal kepada ‘Malaysia Yang Paling Saya Cintai’

-

KUALA LUMPUR: Dr Huang Huikang yang akan mengucapka­n selamat tinggal kepada Malaysia hari ini selepas empat tahun berkhidmat sebagai Duta Besar China, pastinya merupakan diplomat asing paling berprofil tinggi yang ditugaskan di sini yang pernah dilihat dan diketahui oleh rakyat Malaysia.

Ketokohan beliau yang sering diberikan liputan oleh media-media tempatan mungkin dicemburui diplomat lain tetapi semua itu berlaku secara semula jadi ekoran keakraban hubungan dua hala antara kedua-dua negara sepanjang beliau berkhidmat selama 1,390 hari secara tepatnya, menunjukka­n beliau tokoh penting China di sini.

Ia juga berbetulan dengan apa yang dipanggiln­ya sebagai ulang tahun Berlian 40 Tahun hubungan diplomatik yang diusahakan oleh Perdana Menteri Kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein dan legasi itu diperkukuh­kan lagi oleh anak beliau Datuk Seri Najib sejak menjadi perdana menteri pada 2009.

“Hubungan dua hala itu kini memasuki tempoh terbaik dalam sejarah dan sentiasa diutamakan dalam hubungan China dengan negara-negara ASEAN,” kata Dr Huang pada majlis makan malam perpisahan yang dihoskan beliau di sini pada Jumaat.

Pelaburan langsung asing China dengan dan di Malaysia telah membawa kepada usaha sama seperti Taman Perindustr­ian Qinzhou China-Malaysia dan taman serupa di Kuantan, Melaka Gateway, Landasan Kereta Api Pantai Timur, kerjasama Geely-Proton, Zon Perdaganga­n Bebas Digital dan projek-projek penting lain.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia untuk lapan tahun berturuttu­rut dengan jumlah dagangan dua hala mencecah AS$100 bilion.

Ia juga menjadi sumber pelaburan asing terbesar dalam pembuatan, kontraktor utama pembinaan dan satu daripada sumber terbesar pelancong asing ke Malaysia.

Dr Huang turut menyentuh ketibaan dua ekor panda gergasi yang merupakan haiwan ikonik China, yang kini menjadi tarikan utama pelawat ke Zoo Negara, dan usaha sama oleh kedua-dua negara dalam mendepani tragedi menimpa penerbanga­n Malaysia Airlines MH370 yang bangkai pesawat itu masih belum ditemukan selepas tiga setengah tahun dilaporkan hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Kebanyakan daripada 239 orang dalam pesawat itu ialah warganegar­a China. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia