Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki cedera parah dipukul, meninggal dunia semalam

-

ALOR SETAR: Seorang lelaki yang cedera parah akibat dipukul oleh seorang anggota keluargany­a menggunaka­n alat penimbang air di Kampung Baru Sri Muda, Sungai Korok, Jitra, kelmarin disahkan meninggal dunia awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata mangsa, Mohd Tarmizi Abdul Hamid, 67, meninggal dunia kira-kira jam 1 pagi semalam ketika sedang mendapatka­n rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, di sini.

“Berikutan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 326 kerana mendatangk­an kecederaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ketika ini, proses bedah siasat sedang dilakukan di Jabatan Perubatan dan Fo- rensik HSB sebelum dituntut anggota keluarga untuk dikebumika­n.

Dalam kejadian jam 11 pagi kelmarin, Mohd Tarmizi dan isterinya, Tom Wahid, 64, dicederaka­n oleh seorang anggota keluarga pasangan itu yang disyaki penagih dadah berusia 28 tahun di rumah mereka di Kampung Baru Sri Muda, Sungai Korok.

Kejadian berlaku ketika Tom sedang memasak di dapur sebelum suspek mengamuk dengan menetak Tom menggunaka­n gergaji dan kemudian memukul Mohd Tarmizi menggunaka­n penimbang air.

Akibat kejadian itu, Tom cedera di bahagian pipi kanan disyaki terkena senjata tajam, luka di bahu serta lebamlebam di seluruh badan akibat dipukul serta ibu jari tangan kanan dan sendi jari, patah.

Mohd Tarmizi pula parah apabila urat perutnya pecah dan dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Kejadian dipercayai berlaku kerana suspek berang dengan tindakan pasangan itu yang melaporkan kegiatan suspek kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati suspek positif dadah jenis ganja, heroin dan syabu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia