Utusan Borneo (Sarawak)

Lebih 200,000 rumah mampu milik siap dibina

-

KUALA LUMPUR: Sebanyak 255,341 unit rumah mampu milik telah siap dibina bagi tempoh 1 Jan 2013 sehingga 15 Okt tahun ini, iaitu 23 peratus daripada 1.1 juta unit yang disasarkan kerajaan.

Menteri Kesejahter­aan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata sebanyak 717,512 unit atau 64.6 peratus sedang dalam pembinaan dan perancanga­n manakala baki komitmen adalah sebanyak 138,775 unit iaitu 12.4 peratus.

“Sasaran yang ditetapkan kerajaan bagi membina rumah mampu milik untuk tempoh lima tahun dari 2013 pada asalnya adalah satu juta unit. Tetapi apabila melihat keperluan rakyat semakin meningkat, maka sasaran ini ditambah kepada 1.1 juta unit.

“Sasaran ini dilaksanak­an di seluruh negara melalui program Rumah Mampu Milik yang melibatkan pelbagai agensi terlibat iaitu agensi kerajaan persekutua­n, agensi kerajaan negeri dan pihak swasta,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidanga­n Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Khalid Abd Samad ( Amanah- Shah Alam) mengenai perancanga­n kementeria­n bagi memastikan sasaran kerajaan untuk membina 1.1 juta buah rumah mampu milik yang dijanjikan dapat dicapai menjelang 2018.

Dalam pada itu, Noh berkata kerajaan persekutua­n menghadapi cabaran mendapatka­n kerjasama dengan kerajaan negeri dalam pembinaan rumah mampu milik.

Sebagai contoh, katanya, Selangor mengenakan syarat seperti yang dikenakan kepada syarikat swasta terhadap pembanguna­n projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).

“Projek kerajaan ini kita tak ambil untung langsung malah kita keluarkan lagi modal, kita bagi RM2.2 bilion peruntukan.

“Sepatutnya kerajaan negeri kena bagi kerjasama... janganlah letakkan syarat seperti mana dikenakan kepada syarikat swasta,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia