Azarenka tidak akan beraksi bersama Belarus menentang USA di final Piala Fed
MINSK, Belarus: Juara dua kali Terbuka Australia, Victoria Azarenka, yang masih bergelut dengan hak penjagaan anak lelakinya, tidak akan bermain di final Piala Fed menentang Amerika Syarikat (AS), kata pengurus pasukan Belarus Rabu lepas.
Azarenka, bekas pemain nombor satu dunia, terpaksa menarik diri dari menyertai kejohanan Terbuka AS pada bulan Ogos selepas seorang hakim mahkamah di Los Angeles yang mengadili kes penjagaan anak lelakinya berusia 10 bulan, membuat keputusan di mana kanak- kanak itu tidak dapat meninggalkan California sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, kapten Belarus, Eduard Dubrov berkata skuad muda beliau berupaya untuk menangani ketiadaan Azarenka pada penampilan final pertama mereka dalam Piala Fed dengan kejohanan akan berlangsung di permukaan simen di Chizhovka Arena di sini pada 11 dan 12 November.
“Perkembangan pemain muda kami sejak beberapa bulan yang lalu memberikan saya keyakinan tentang peluang kami di final,” kata Dubrov ketika memberitahu wartawan.
“Victoria ( Azarenka) tidak akan dapat bermain atas sebab yang semua orang tahu. Ia mengecewakan tetapi kami tidak dapat mengubah apa-apa sekarang.”
Aryan Sabalenka, 19, dan ketika ini berada pada ranking ke-78 dunia, akan mengetuai cabaran Belarus, bersama- sama Aliaksandra Sasnovich dan Vera Lapko, juga 19, yang beraksi cemerlang membawa Belarus ke final.
Pakar bergu Lidziya Morosova menjadi pilihan mengejut Dubrov ketika beliau kembali ke pasukan buat kali pertama sejak 2013.
AS, yang akan beraksi tanpa Serena dan Venus Williams, memilih pemain ranking ke- 13, Sloane Stephens, CoCo Vandeweghe ( ranking ke- 12), Shelby Rogers ( 59) dan Alison Riske (70).— AFP