Utusan Borneo (Sarawak)

Polis Tunisia mati sehari selepas ditikam di luar parlimen

-

TUNIS: Seorang anggota polis Tunisia meninggal dunia kelmarin sehari selepas beliau ditikam oleh seorang ekstremis Islam di luar parlimen di bahagian sibuk di ibu negara Tunis, menurut pihak berkuasa.

Komander Riadh Barrouta, yang ditikam dengan pisau di bahagian leher dalam serangan pada Rabu lepas, “telah meninggal dunia”, menurut jurucakap kementeria­n dalam negeri Yasser Mesbah.

Seorang lagi pegawai mengalami kecederaan ringan di bahagian dahi dalam serangan awal pagi sebelum penyerang tersebut dalam usia pertengaha­n 20-an segera diberkas.

Selepas serangan, pihak kementeria­n dalam negeri menyatakan penyerang mengaku mengamalka­n ideologi “ekstremis” sejak tiga tahun lepas.

“Membunuh mereka (polis), menurut dia, merupakan satu bentuk jihad,” katanya.

Pendakwa raya semalam berkata lelaki itu – seorang graduan sains komputer yang menganggur dilahirkan pada 1992 – kelihatan telah bertindak bersendiri­an dan tidak berasal dari mana-mana kumpulan, namun “berniat untuk menyerang kumpulan pengganas” di negara jiran Libya.

Penyerang, yang berasal dari subbandar Tunis, akan dihadapkan di depan pendakwa raya antipengga­nas semalam, kata Sofiene Sliti, jurucakap pejabat pendakwaan.

Pihak berkuasa turut menyatakan mereka telah melancarka­n siasatan mengenai kebocoran video atas talian selama satu minit bagi sesi soal siasatnya.

Sejak revolusi 2011, yang mencetuska­n “Arab Spring”, pasukan keselamata­n di Tunisia berdepan dengan satu siri serangan jihad yang telah meragut nyawa lebih 100 anggota tentera dan polis.

Serangan pada Rabu lepas berlaku bersebelah­an dengan Muzium Negara Bardo yang terkenal dan merupakan kawasan serangan maut kumpulan Negara Islam (IS) pada 2015 yang mengorbank­an 21 pelancong asing dan seorang anggota polis.

Pada Jun tahun yang sama, 38 pelancong asing, termasuk 30 dari Britain, terkorban dalam serangan IS di pusat peranginan pantai Sousse.

Tunisia berada di bawah perintah darurat sejak November 2015, selepas satu lagi serangan yang mengorbank­an 12 pengawal presiden di tengah ibu negara.

Serangan terhadap anggota polis muncul ketika Tunisia sedang membahas undangunda­ng yang dicadangka­n bagi “melindungi” anggota polis dan tentera yang kumpulan masyarakat awam nyatakan sebagai “berbahaya’ terhadap demokrasi. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia