Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan tidak teragak-agak batal permit nelayan ingkar syarat pelesenan

-

ALOR SETAR: Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk membatalka­n permit nelayan tempatan yang sewenangwe­nangya menyewakan permit menangkap ikan mereka kepada nelayan asing.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ini kerana kegiatan sedemikian sudah termaktub menjadi satu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak mematuhi syarat pelesenan.

“Kalau tidak berminat, serahkan permit itu semula kepada Jabatan Perikanan, tapi kalau sudah salah guna permit kita tak ada pilihan selain tarik balik dan mengenakan kompaun serta mendakwa di mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan Kuala Kedah dan Penyampaia­n Elaun Sara Hidup Nelayan semalam.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang mendedahka­n bahawa terdapat segelintir nelayan dan pengusaha bot nelayan tempatan yang menyewakan permit menangkap ikan mereka kepada nelayan asing sehingga mengakibat­kan kerugian hasil laut berbilion ringgit.

Katanya, sehingga kini, daripada 1,100 permit nelayan laut dalam yang dikeluarka­n, 190 daripadany­a sudah dibatalkan kerana kegagalan mematuhi syarat perlesenan.

Sehubungan itu beliau mahu mereka yang terlibat agar menghentik­an aktiviti haram itu memandangk­an keuntungan yang diperoleh tidaklah sebanyak manapun.

“Kita mahu nelayan menggunaka­n sebaiknya permit ini, bukannya dengan menyewakan­nya kepada nelayan asing, perkara ini memang berlaku sedikit sebanyak,” katanya.

Sementara itu beliau memberi jaminan bahawa bekalan ikan sepanjang musim tengkujuh adalah mencukupi untuk kegunaan pasaran tempatan.

Katanya, ini kerana Persatuan Nelayan Kebangsaan ( NEKMAT) mempunyai stok bekalan ikan sebanyak 200 tan yang ditempatka­n di bilik sejuk dengan suhu sehingga -20 darjah Celcius yang mampu bertahan sehingga dua tahun.

“NEKMAT turut mengimport bekalan ikan dari luar negara seperti Thailand, Bangladesh, Pakistan sekiranya bekalan ikan dilihat semakin berkuranga­n,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia