Utusan Borneo (Sarawak)

Mangsa sifatkan banjir di P. Pinang sebagai terburuk

-

KEPALA BATAS: Penduduk di kawasan Bertam yang dilanda banjir selepas hujan lebih 15 jam sejak petang kelmarin menyifatka­n ia sebagai banjir terburuk sejak 20 tahun mereka tinggal di kawasan berkenaan.

Mereka juga mendakwa air naik begitu cepat sehingga penduduk langsung tidak sempat menyelamat­kan peralatan elektrik dan barangan dalam rumah masing-masing.

Seorang mangsa, Rozazizi Saad, 55, berkata rumahnya mula dinaiki air sejak 7 petang kelmarin selepas hujan lebat sejak jam 2 petang dan mereka sekeluarga tidak sempat menyelamat­kan apaapa barang kerana banjir naik begitu cepat.

“Saya rasa ini kejadian banjir paling teruk selama lebih 20 tahun tinggal di Taman Bertam Indah, selama ini kalau hujan lebat dan lama sekali pun hanya kawasan garaj kereta sahaja air naik.

“Tapi kali ini banjir sampai dalam rumah hingga cecah paras pinggang, malah air naik begitu cepat sampai kami tidak sempat selamatkan apaapa. Habis semua rosak,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah (SMK) Bertam Indah, di sini semalam.

Rozazizi yang juga jurutera sebuah syarikat penerbanga­n berkata semasa kejadian, terdapat isteri serta anak lelakinya berusia 16 tahun di rumah dan mereka terus menyelamat­kan diri dengan pergi ke kawasan lebih tinggi kerana bimbang air terus naik.

“Dari semalam kami dipindahka­n ke pusat pemindahan sementara, mula-mula macam tak mahu pindah sebab takut barang-barang di rumah tapi tengok polis sentiasa meronda dan maklumkan tidak perlu bimbang tu jadi lega sikit,” katanya.

Bagi Azim Ahmad, 30, pula beliau menjangkak­an air banjir akan mengambil masa sekurang- kurangnya dua hari untuk surut kerana air laut masih pasang hari ini berikutan cuaca mendung serta masih berlaku hujan sekali sekala.

“Dari semalam hujan lebat tu dah dok (asyik) risau sebab nampak macam nak banjir, air naik di kawasan jalan raya di sekitar Bertam Indah sebelum masuk ke lorong taman dan rumah penduduk.

“Seingat saya, masa saya sekolah rendah pernah berlaku banjir macam ini tetapi kali ini lebih teruk kerana banyak rumah yang tak pernah dinaiki air turut banjir,” katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Ramlah Awang berkata beliau antara penduduk dari Kampung Teluk, Perai dekat sini yang ditempatka­n di pusat pemindahan sementara di Taman Siakap, Seberang Jaya.

Suri rumah berusia 45 itu berkata kawasan kampungnya mula hujan sejak 2.30 petang semalam dan pada mulanya air tidak memasuki rumah, namun ketika mahu menunaikan solat Maghrib tiba-tiba hujan lebat dan terus rumahnya dilanda banjir.

“Memang kawasan kami hujan tapi dalam 7 petang itu, ia (hujan) makin lebat dan terus masuk ke dalam rumah. Kami sekeluarga tidak sempat selamatkan apa-apa kerana cepat sangat air naik.

“Habis peralatan elektrik seperti peti ais, mesin basuh, televisyen dan banyak lagi tenggelam. Barang-barang lain pun semua basah, kali ini memang banjir teruk dan terburuk berbanding sebelum ini,” katanya.

Hampir keseluruha­n Pulau Pinang dilanda banjir setinggi 0.2 meter hingga 1 meter dan puluhan pokok tumbang selepas hujan lebat serta angin kuat sejak 2 petang semalam dan hujan berlarutan hingga 5 pagi ini.

Semua daerah di negeri itu ditenggela­mi air berikutan hujan lebat berterusan serta paras air sungai yang tinggi bertembung dengan kejadian air pasang di laut menyebabka­n limpahan air berlaku dengan cepat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia