Utusan Borneo (Sarawak)

Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar NBOS usaha berterusan JBPM

-

LAWAS: Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) satu usaha berterusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu mangsa kebakaran serta golongan kurang berkemampu­an.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata program turun padang itu memberi impak positif terhadap masyarakat memerlukan sekali gus dapat mengurangk­an beban dihadapi golongan terbabit.

“Selain membina rumah terbakar, NBOS perlu diperluas kepada golongan daif memerlukan di negeri ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah, Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar NBOS Kejiranan Indah di Kampung Lintang, Sundar Lawas semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an Datuk Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, ADUN Lambir Ripin Lamat, Timbalan Ketua Pengarah (Pembanguna­n) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Amer Yusof, Pengarah JBPM Negeri Nor Hisham Mohamad, Pegawai Daerah Lawas Hussaini Hakim, Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang Edmund Dmahai Emboh, Ketua Balai Bomba Lawas Zaki Husin dan Ketua Balai Bomba Limbang Tawang Lingem.

Menteri Pembanguna­n Perindustr­ian dan Usahawan serta Pembanguna­n Bandar dan Sumber Asli Kedua itu turut memuji usaha murni anggota JBPM membantu membina rumah di bawah NBOS sekali gus membantu meringanka­n mereka dilanda kesusahan.

“Usaha murni JBPM di bawah NBOS amat disanjung murni dan dapat diperluask­an kepada golongan daif agar lebih banyak rumah dapat dibina khususnya mereka yang mengalami kebakaran dan golongan memerlukan,” ujarnya.

Katanya, penubuhan pasukan bomba komuniti amat diperlukan sebagai tindakan awal menyelamat­kan harta benda atau nyawa mangsa sebelum ketibaan pasukan bomba dan penyelamat.

Awang Tengah berkata, kebakaran mendatangk­an banyak kerumitan kerana kehilangan harta benda serta melibatkan jiwa terkorban.

“Membina semula kehidupan bukan sesuatu mu- dah terutama tidak mempunyai keupayaan.

“Program NBOS ini dapat membantu masyarakat memerlukan,” katanya.

Beliau mahu rakyat terus berhati-hati termasuk ketika mengendali­kan pendawaian elektrik.

“Pastikan mereka yang bertauliah mengendali­kan pendawaian elektrik bagi mengelak kebakaran,” jelasnya.

Terdahulu, Amer berkata sebanyak 174 rumah di Malaysia terpilih untuk bina semula bernilai RM50,000 bagi kos sebuah rumah manakala baik pulih rumah bernilai RM15,000.

Pada program itu, Yoel Seem Mia terpilih untuk program bina rumah baharu terbakar di Kampung Lintang bermula Ogos lalu dan berjaya disiapkan Oktober lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia