Utusan Borneo (Sarawak)

SPU paling teruk terjejas banjir di Pulau Pinang

-

KEPALA BATAS: Daerah Seberang Perai Utara (SPU) disifatkan sebagai kawasan paling teruk terjejas akibat banjir berikutan angin kuat dan hujan lebat lebih 15 jam bermula jam 2 petang kelmarin, kata seorang pegawai kanan polis negeri.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamata­n Komuniti Polis Pulau Pinang Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah berkata sehingga 1 petang semalam, seramai 2,588 mangsa banjir di daerah itu ditempatka­n di 19 pusat penempatan sementara banjir.

“Selain itu, daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS), Timur Laut serta Barat Daya juga turut mengalami banjir, namun keadaan di empat daerah itu tidak seteruk di kawasan SPU.

“Ketika ini, terdapat 291 mangsa banjir di pusat pemindahan sementara banjir di Timur Laut, 379 (Barat Daya), 500 (SPT) dan seramai 25 orang di SPS,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata 1,200 pegawai dan anggota polis sedang bertugas secara giliran 24 jam sehari bermula kelmarin dan semua cuti mereka dibekukan bagi memastikan kelancaran operasi menyelamat serta membantu mangsa banjir.

Mohamad Anil Shah berkata pihaknya menggunaka­n keseluruha­n logistik yang ada dan turut mendapatka­n bantuan lori, bot dan land rover daripada kontinjen berdekatan bagi menambah keperluan di Pulau Pinang.

Beliau berkata selepas mendapat maklumat berhubung keadaan cuaca buruk pihak polis terus mengambil langkah segera bekerjasam­a dengan beberapa agensi kerajaan yang lain dalam membantu, menyelamat serta memindahka­n mangsa banjir yang terlibat.

Katanya menjadi keutamaan polis bagi memastikan mangsa diselamatk­an dalam tempoh segera dan dipindahka­n ke kawasan yang selamat serta pihaknya juga mengambil langkah segera mengawal lalu lintas supaya tidak berlaku kesesakan.

“Selain itu, orang ramai terutama mangsa banjir tidak perlu bimbang kerana kami menempatka­n polis di pusat pemindahan sementara banjir serta mengadakan rondaan secara berkala di kawasan yang terjejas bagi memastikan tidak berlaku sebarang kes jenayah,” katanya.

Beliau berkata orang ramai juga dinasihatk­an supaya tidak panik dan mematuhi arahan polis bagi memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini.

“Penduduk yang rumah mereka dinaiki air diminta menghubung­i polis supaya kami dapat memindahka­n mangsa dan pihak polis juga membuka bilik gerakan 24 jam sehari di lima daerah terlibat bagi membantu mangsa,” katanya.

Mohamad Anil Shah berkata ketika ini masih terdapat beberapa laluan yang ditutup berikutan air naik sehingga 0.5 meter antaranya di sebelah pulau iaitu Jalan P. Ramlee, Jalan Patani dan Jalan Perak serta Lebuh Kampung Jawa dan Jalan Mahsuri.

Katanya di bahagian Seberang Perai Utara ialah Jalan Paku Lima, Jalan Kampung Perlis, Jalan Bertam Perdana, Jalan Bertam Indah serta Jalan Jelawat.

“Sementara itu, terdapat juga beberapa laluan yang turut ditutup kerana tanah runtuh dan pokok tumbang antaranya di bahagian pulau iaitu Jalan Tun Sardon-Balik Pulau, Jalan Bukit Jambul, Jalan Sungai Pinang-Titi Kerawang serta Jalan Assumption di Butterwort­h,” katanya.

Hampir keseluruha­n kawasan Pulau Pinang dilanda banjir setinggi 0.2 meter hingga 1 meter dan puluhan pokok tumbang selepas hujan lebat serta angin kuat sejak 2 petang semalam dan hujan berlarutan hingga jam 5 pagi semalam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia