Utusan Borneo (Sarawak)

Ibarat hilang ‘tangan’ banyak membantu: Bapa mangsa

-

KUALA TERENGGANU: “Arwah banyak membantu di pasar, selepas ini saya ibarat kehilangan tangan untuk menguruska­n hal-hal jual beli di pasar selepas ketiadaann­ya,” kata Ramli Mohamad, bapa kepada mangsa kemalangan maut di Kilometer 33 Jalan Kuala Terengganu­Kuantan berhadapan Penjara Marang, petang kelmarin.

Ramli, 46, turut menyifatka­n anak ketiganya itu Nur Adibah Ramli, 19, seorang yang pendiam dan tidak banyak kerenah dalam kehidupan seharianny­a.

“Arwah lebih banyak buat hal sendiri, namun beliau ringan tulang dalam menguruska­n hal-hal di rumah dan menjadi pembantu utama saya menjual santan di Pasar Wakaf Tapai, Marang.

“Selepas ini, saya tidak tahu siapa boleh menggantik­an tempat arwah dan mungkin dalam masa terdekat, saya tidak akan berniaga lagi kerana masih terkesan atas kehilangan­nya,” kata beliau kepada pemberita di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) semalam.

Turut maut dalam kemalangan pada 6.20 petang itu adalah abang ipar Ramli, iaitu Mohd Saari Muda, 52, isteri Mizah Mamat, 52, dan anak saudaranya Saerah Mohd Saari, 18.

Kesemua mangsa yang maut di tempat kejadian, dipercayai dalam perjalanan pulang selepas menghadiri kenduri perkahwina­n di Kerteh, Kemaman, selepas kereta Proton Saga Aeroback dinaiki merempuh sebuah bas persiaran.

Ramli berkata anaknya itu memang manja terutama dengan isterinya dan tidak menunjukka­n sebarang petanda pelik sebelum meninggal dunia. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia