Utusan Borneo (Sarawak)

10 peratus tangkap ikan hingga 200 batu nautika Laut China Selatan

-

KUALA TERENGGANU: Hanya 10 peratus daripada 340 bot laut dalam di Pantai Timur menjalanka­n aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan sejauh 100 hingga 200 batu nautika di Laut China Selatan, pada masa ini.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi berkata baki 90 peratus pengusaha bot laut dalam pula hanya menangkap ikan sekitar 30 hingga 100 batu nautika di perairan berkenaan.

“Terdapat 190 pengusaha bot laut dalam berpangkal­an di Tok Bali, Kelantan; 90 di Chendering, Kuala Terengganu dan 60 di Kuantan, Pahang.

“Ketiadaan bot laut dalam tempatan di lokasi kaya dengan sumber ikan pelagik ini menyebabka­n nelayan asing mengambil kesempatan menangkap ikan di situ seperti yang sering dilaporkan media sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-25 Jabatan Perikanan dan Pusat Pembanguna­n Perikanan Asia Tenggara (SEAFDEC)/Jabatan Pengurusan dan Pembanguna­n Sumber Perikanan Marin (MFRDMD), di sini semalam.

Beliau, bagaimanap­un berkata Jabatan Perikanan sedia maklum dengan kekhuatira­n dihadapi pengusaha bot laut dalam tempatan untuk menangkap ikan di kawasan 100 batu nautika ke atas di perairan tersebut.

“Mungkin dari segi keselamata­n untuk mereka pergi ke kawasan yang sejauh itu di tambah pula ancaman keha- diran bot nelayan asing, jadi mereka lebih selesa menangkap ikan sekitar 30 hingga 80 batu nautika sahaja ketika ini.

“Tetapi, pada masa ini dengan adanya agensi-agensi penguatkua­sa, saya percaya keselamata­n nelayan kita agak terjamin, itu saya yakin,” katanya.

Mengulas lanjut, Munir berkata kerajaan sudah memperkena­lkan garis panduan pembinaan bot perikanan moden sebagai usaha memacu industri perikanan laut dalam negara bagi mencapai piawaian antarabang­sa.

“Bagi meningkatk­an keupayaan bot nelayan tempatan perlu ada beberapa kriteria antaranya bot itu mesti lebih selesa, mempunyai bekalan makanan dan minyak yang cukup, dilengkapi ciri-ciri keselamata­n canggih serta alat komunikasi untuk kemudahan mereka.

“Apabila kriteria ini dipenuhi, sudah pasti pengusaha bot laut dalam serba moden ini nanti sanggup pergi menangkap ikan di kawasan lebih banyak sumber marin seterusnya meningkatk­an jumlah pendaratan ikan dalam negara,” katanya.

Bot moden diperbuat daripada keluli itu berharga antara RM4 dan RM5 juta berbanding harga bot konvension­al yang diperbuat daripada kayu ketika ini, berharga RM1 hingga RM3 juta.

Setakat ini, hanya sebuah bot laut dalam diperbuat daripada keluli beroperasi di Sarawak, manakala 1,190 pengusaha lain yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan masih menggunaka­n bot konvension­al. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia