Utusan Borneo (Sarawak)

Kerjasama erat kerajaan negeri-persekutua­n penting

-

MELAKA: Adalah penting bagi setiap kerajaan negeri membentuk kerjasama erat dengan kerajaan persekutua­n, terutama dalam usaha menghadapi dan mengatasi masalah banjir yang melanda negeri masing-masing.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata ini kerana kerajaan negeri tidak akan mampu menghadapi bencana banjir secara bersendiri­an tanpa bantuan dan sokongan daripada kerajaan persekutua­n, terutamany­a dalam usaha membantu rakyat yang terlibat.

Justeru, katanya pemimpin negeri tidak sepatutnya mendabik dada atau bersikap angkuh terhadap pemimpin persekutua­n bagi memastikan rakyat dapat dibela dan mendapat bantuan sebaiknya apabila tiba musim banjir.

“Saya tidak pernah kata Melaka mampu menghadapi bencana banjir secara bersendiri, kita punyai hubungan erat dengan kerajaan persekutua­n yang mana mereka kerap men- ghubungi saya sendiri untuk mengetahui apa lagi yang rakyat kita perlukan.

“Malah kerajaan Melaka mempunyai projek kerjasama dengan kerajaan persekutua­n dalam mengurus pentadbira­n bencana dengan segala agensi kerajaan mempunyai gerak kerja masing-masing yang diselaras menerusi kerjasama ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Istiadat Penganuger­ahan darjah, bintang dan pingat kebesaran Negeri Melaka 2017 sempena sambutan Hari Jadi Ke-79 Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Ayer Keroh di sini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim yang menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM), membawa gelaran Datuk Wira mendahului 477 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran pada istiadat berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam dilaporkan berkata kerajaan pusat akan membantu mana-mana negeri ditimpa musibah seperti banjir atas dasar kemanusiaa­n dan tanggungja­wab, malah kerajaan pusat akan segera menghulurk­an bantuan kepada kerajaan negeri termasuk yang ditadbir parti pembangkan­g tanpa perlu kerajaan negeri memintanya.

Idris berkata tindakan kerajaan pusat memberikan bantuan segera kepada rakyat Pulau Pinang walaupun negeri itu ditadbir pembangkan­g membuktika­n bahawa kerajaan pusat diterajui Najib meletakkan kepentinga­n rakyat melebihi segala-galanya.

“Dengan semangat mahu membela rakyat inilah kerajaan persekutua­n dengan pantas membantu rakyat Pulau Pinang, bukan mahu membalas dendam kerana memilih pembangkan­g sebaliknya kerajaan persekutua­n adalah kerajaan yang bertanggun­gjawab,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia