Utusan Borneo (Sarawak)

Krajinovic ketepi Isner, berdepan Sock di final Siri Master Paris

-

PARIS, Perancis: Pemain kelayakan dari Serbia, Filip Krajinovic mengejutka­n pemain Amerika Syarikat (AS), John Isner 6-4, 6-7(2/7) dan 7-6(7/5) untuk melangkah ke final kejohanan Siri Master Paris, sekali gus menamatkan impian Isner untuk layak ke kejohanan akhir musim, Final Jelajah Dunia di London, Sabtu lepas.

Pemain ranking ke-77 dunia itu akan menentang rakan senegara Isner, Jack Sock di final selepas Sock menewaskan pemain wildcard tuan rumah, Julien Benneteau 7-5 dan 6-2 untuk kurang satu kemenangan untuk layak ke London.

Krajinovic, yang terkeluar dari senarai 200 pemain teratas dunia selepas pembedahan di pergelanga­n tangan kanannya, berhempas-pulas pada permainan tiebreak set ketiga untuk menewaskan Isner, yang melakukan 31 pukulan servis kencang.

Beliau menjadi pemain dengan ranking paling rendah yang melangkah ke final kejohanan Siri Master semenjak Andre Pavel (pada ranking ke-191) layak ke final pada 2003.

Pemain berusia 25 tahun itu melangkah ke peringkat separuh akhir selepas pemain nombor satu dunia, Rafael Nadal, menarik diri sebelum perlawanan suku akhir kerana kecederaan lutut kanan.

“Saya mula bermain dengan lebih baik dan saya memasuki senarai 100 pemain terbaik beberapa tahun yang lalu dan kemudian saya terpaksa menjalani pembedahan memulihkan masalah di pergelanga­n tangan,” kata Krajinovic pada satu sidang media.

“Ia secara mentalnya sangat sukar kerana anda semakin berusia dan penaja juga enggan melabur untuk anda.

“Apabila saya melakukan servis untuk mata kemenangan, tangan saya mengeletar. Ia sukar untuk mengawal emosi tetapi saya tahu saya harus bermain dengan agresif sehingga ke mata terakhir. Saya melakukann­ya dan ia adalah hari terbaik dalam kehidupan saya.”

Isner, 32, perlu memenangi kejohanan ini untuk menduduki slot terakhir kelayakan ke Final Jelajah Dunia, yang ketika ini dipegang oleh Pablo Carreno Busta.

Sekarang, Sock boleh menafikan peluang Carreno Busta untuk ke London, dengan syarat beliau memenangi kejohanan ini.

Krajinovic hanya menang dua perlawanan pada kejohanan peringkat Grand Slam dan Siri Master sepanjang kerjayanya sebelum minggu ini tetapi beliau sudah memenangi lima kejohanan peringkat Challenger pada 2017 dan akan memasuki ranking 40 teratas dunia pada minggu hadapan.

Sock, 25, mengenepik­an cabaran sengit Benneteau untuk menafikan penonton tuan rumah penampilan pemain tuan rumah pertama di final sejak Jo Wilfried Tsonga, enam tahun yang lalu. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia