Utusan Borneo (Sarawak)

Korea Utara membawa misi besar, tinggalkan politik luar padang

-

BANGKOK: Pasukan bola sepak Korea Utara yang tiba di sini lewat malam kelmarin mahu meninggalk­an soal politik di luar padang sebaliknya menumpukan perhatian mengumpul tiga mata penuh ketika menentang Malaysia dalam Kumpulan B Kelayakan Piala Asia (AFC Cup) 2019 di Buriram pada 10 dan 13 Nov ini.

Kecewa dengan pertukaran venue perlawanan dari Pyongyang ke Thailand, pengurus Korea Utara yang berbangsa Norway, Jorn Andersen berkata pemainnya tidak akan membiarkan politik menyekat mereka dari memperoleh keputusan terbaik.

“Saya tidak mahu politik dan sukan dicampur aduk. Kami adalah ahli sukan dan kami bermain bola sepak. Kami perlu mengetepik­an sukan (daripada politik) dan bermain secara adil menentang Malaysia,” katanya kepada Bernama setiba di Lapangan Terbang Suvarnabhu­mi dari Beijing.

Beliau berkata moral pe- mainnya juga baik dan bersedia dengan tugas yang diberikan.

Perlawanan Malaysia-Korea Utara telah ditangguh selama sembilan bulan sejak Mac lalu ekoran hubungan diplomatik yang terjejas susulan pembunuhan Kim Jongnam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Februari lalu.

Perlawanan turut terganggu susulan larangan pemergian rakyat Malaysia ke Korea Utara akibat susana tegang di Semenanjun­g Korea berikutan ujian peluru berpandu.

Akhirnya perlawanan kedua-dua pasukan diputuskan untuk diadakan di i-Mobile Stadium, Buriram, di timur laut Thailand, antara lima dan enam jam pemanduan dari Bangkok.

Untuk bermain di Buriram dan bukan Pyongyang, Andersen berkata ia bukan merupakan kelebihan buat mereka, tetapi mereka perlu mematuhi keputusan Konfederas­i Bola Sepak Asia (AFC).

Mengenai penilaiann­ya terhadap anah buah Nelo Vingada, beliau berkata pemainnya tidak boleh mengambil mudah ke atas Malaysia walaupun Malaysia kini berada di kedudukan paling bawah kumpulan.

“Malaysia bukan pasukan teruk dan mereka sentiasa berbahaya,” katanya dan menambah mereka telah membuat kajian video bagi menganalis­is kekuatan dan kelemahan pasukan Malaysia.

Pasukan Korea Utara menurutnya, optimis dan yakin boleh mendapat kesemua enam mata dalam dua pertemuan itu nanti.

“Sasaran kami ialah untuk merebut enam mata maksimum dalam dua perlawanan,” katanya sebelum segera membawa pemainnya menuju bas yang sedia menunggu bagi menuju Nakhon Ratchasima yang akan menjadi pangkalan mereka buat beberapa hari.

Korea Utara akan berlatih di Nakhon Ratchasima, kira-kira dua jam perjalanan daripada Buriram bagi menyesuaik­an diri kepada cuaca panas dan lembap Thailand.

Menurut Andersen, latihan di Nakhon Ratchasima adalah penting kerana ia dapat menyesuaik­an diri pemainnya yang sebelum ini menghadapi cuaca sejuk di Korea Utara dengan cuaca panas dan lembap di Thailand.

“Kami datang dari Korea Utara untuk membuat persediaan sebaik mungkin, sebab di negara kami cuacanya amat sejuk sekarang. Kami mempunyai lima hari untuk membuat persediaan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia