Utusan Borneo (Sarawak)

LIMA MAUT DALAM BANJIR TERBURUK DI PULAU PINANG

-

GEORGE TOWN: Pulau Pinang sekali lagi dilanda banjir berikutan angin kuat dan hujan lebat lebih 15 jam bermula 2 petang kelmarin (Sabtu) dan disifatkan sebagai yang terburuk dalam sejarah.

Dalam persidanga­n Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang baru-baru ini, kerajaan negeri melaporkan negeri berkenaan mengalami 119 kali banjir kilat sejak 2013 hingga 15 Oktober tahun ini dengan 21 kali pada tahun ini.

Hujan lebat dan angin kencang sejak jam 2 petang dan berlarutan sehingga jam 5 pagi semalam menyebabka­n Pulau Pinang lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di lima daerah di negeri ini dilanda banjir selain turut menyebabka­n ratusan pokok dan beberapa kawasan mengalami kejadian tanah runtuh.

Hampir keseluruha­n kawasan rendah di Pulau Pinang dinaiki air setinggi 0.2 meter hingga satu meter berikutan hujan lebat berterusan menyebabka­n paras air sungai meningkat dan bertembung dengan fenomena air pasang di laut mengakibat­kan limpahan air berlaku dengan pantas.

Kejadian banjir itu turut menyebabka­n kematian empat warga emas yang lemas dalam kejadian banjir dan seorang warga Bangladesh maut dihempap pokok manakala rakan senegarany­a dipercayai masih hilang.

Setakat jam 6 petang semalam, seramai 3,365 mangsa banjir di Pulau Pinang masih ditempatka­n di pusat pemindahan sementara banjir di lima daerah di negeri ini dan daerah Seberang Perai Utara (SPU) yang disifatkan sebagai kawasan paling teruk terjejas akibat banjir.

Pegawai Perhubunga­n Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Azman Hussin berkata kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) mencatat jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,974 orang di 25 pusat pemindahan di daerah berkenaan manakala SPU (829 orang), Seberang Perai Selatan (25), Barat Daya (290) dan Timur Laut melibatkan 247 mangsa.

Kejadian banjir itu turut mengakibat­kan sebuah feri di Terminal Feri Sultan Abdul Halim, Butterwort­h mengalami sedikit kerosakan akibat dipukul ombak setinggi tiga meter di kawasan itu sehingga melanggar bahagian W6 dermaga air dalam.

Bagaimanap­un, feri tersebut dijangka beroperasi keesokan hari. Lalu lintas di beberapa kawasan turut mengalami kesesakan antaranya George Town, Batu Ferringhi dan Tanjung Tokong disebabkan pokok tumbang yang menghalang lalu lintas dan hanya satu jalan sahaja dibuka untuk kenderaan.

Kerja-kerja pembersiha­n pokok-pokok yang tumbang akibat angin kencang sedang giat dijalankan dan polis turut mengawal lalu lintas bagi mengelak kesesakan.

Selain itu, Rapid Penang turut menghentik­an sementara operasi perkhidmat­an basnya berikutan kejadian banjir kilat di bahagian pulau dan tanah besar.

Dalam satu kenyataan semalam, Rapid Penang berkata 13 laluan bas di bahagian pulau dihentikan membabitka­n kawasan Kebun Bunga, Teluk Bahang, KOMTAR, Pengkalan Weld, Tanjung Bungah, Bukit Bendera, Paya Terubong dan Balik Pulau dan satu laluan di bahagian Seberang Perai iaitu laluan bas Bukit Mertajam-Taman Pelangi turut dihentikan operasi.

Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri tidak bercadang mengisytih­arkan darurat buat masa ini kerana keadaan masih terkawal.

Beliau berkata darurat hanya akan diisytihar oleh kerajaan negeri selepas rundingan dan atas nasihat kerajaan persekutua­n.

Terdahulu, Lim ketika mengadakan lawatan ke kawasan terjejas awal pagi semalam meminta bantuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menghantar pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu mangsa banjir.

“Keadaan semakin genting. Air masih naik, angin masih kuat, air sampai 10 hingga 12 kaki lepasi bumbung di Pulau Pinang.

Pulau Pinang minta bantuan daripada ATM. Saya berjaya hubungi Timbalan Perdana Menteri, terima kasih kerana angkat panggilan saya hampir jam 3.30 pagi dan beliau berjanji akan menghantar pasukan ATM untuk selamatkan Pulau Pinang,” katanya.

Jabatan Meteorolog­i Malaysia dalam kenyataan menyatakan amaran hujan lebat peringkat jingga dikeluarka­n pada petang kelmarin bagi negeri Perlis, Perak, Kedah dan Pulau Pinang sebelum ditingkatk­an ke peringkat merah ekoran hujan semakin lebat menjelang tengah malam.

Bagaimanap­un, tahap amaran hujan lebat itu telah diturunkan kembali kepada kategori jingga mulai semalam berikutan kawasan tekanan udara rendah dikesan semakin lemah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia