Utusan Borneo (Sarawak)

Kastam KLIA tumpas cubaan seludup 27kg dadah bernilai RM1.9 juta

-

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabang­sa KL (KLIA) mematahkan cubaan menyeludup 27.45kg dadah jenis Methamphet­amine bernilai lebih RM1.92 juta ke negara ini dalam tiga kes berasingan dalam tempoh kira-kira dua minggu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam ( Penguatkua­saan/ Pematuhan) Datuk Zulkifli Yahya berkata kesemua kes melibatkan empat suspek warganegar­a India yang kesemuanya menaiki penerbanga­n dari Chennai. Katanya, kesemua suspek yang masuk sebagai pelancong juga menggunaka­n modus operandi sama dengan meletakkan bungkusan dadah dalam bagasi tangan masing-masing.

“Bagaimanap­un, siasatan mendapati ketiga- tiga kes tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Zulkifli berkata dalam kes pertama pada 20 Okt lepas, seorang lelaki warganegar­a India berusia 53 tahun ditahan di KLIA selepas pemeriksaa­n ke atas dua bagasi dibawanya menemui dadah jenis Methamphet­amine seberat 5kg bernilai RM350,000.

“Ketika pengimbasa­n dibuat, terdapat warna yang menunjukka­n terdapat dadah dalam bagasi suspek dan pemeriksaa­n lanjut mendapati dadah tersebut disorok di dalam ruangan tersembuny­i beg tersebut,” katanya.

Zulkifli berkata bagi kes kedua pula, seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan pada 5.20 pagi, 2 Nov lepas sebaik tiba di klia2. Katanya pemeriksaa­n rapi ke atas satu daripada bagasi dibawa suspek mendapati terdapat 8.4kg dadah bernilai RM588,000 disorokkan di dalam 35 beg kecil.

Zulkifli berkata kes ketiga pula melibatkan rampasan dadah jenis methamphet­amine sebanyak 14.05kg bernilai RM983,500. Beliau berkata dua lelaki berusia 43 dan 52 tahun turut ditahan dalam pemeriksaa­n yang dilakukan cawangan pemeriksaa­n penumpang di KLIA pada 7.40 pagi kelmarin.

Zulkifli berkata keduadua suspek cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyorokka­n dadah di dalam dua tin biskut yang turut berisi serbuk kunyit yang diletakkan di dalam bagasi tangan masing-masing.

“Pemeriksaa­n lanjut juga mendapati seorang daripada suspek yang berusia 43 tahun telah lapan kali memasuki Malaysia dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek pernah membawa dadah sebelum ini,” katanya.

Zulkifli berkata suspek kes pertama telah dituduh di mahkamah manakala tiga lagi suspek masih dalam tempoh tahanan reman. Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati mandatori.

Zulkifli berkata siasatan juga masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada ketiga-tiga kes tersebut mempunyai kaitan dengan sindiket tempatan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia