Utusan Borneo (Sarawak)

Exco Pahang dikejarkan ke Hospital Charing Cross London selepas pengsan

-

KUANTAN: Pengerusi Jawatankua­sa Koperasi, Keusahawan­an dan Kepengguna­an Pahang Datuk Seri Shahiruddi­n Ab Moin dimasukkan ke Hospital Charing Cross di London selepas pengsan kelmarin.

Pengerusi Jawatankua­sa Pelanconga­n dan Kebudayaan Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, doktor mengesahka­n keadaan Shahiruddi­n tidak membimbang­kan dan beliau memerlukan rehat yang cukup.

“Doktor berkata Shahiruddi­n pengsan disebabkan dirinya terlalu letih ditambah dengan faktor perubahan cuaca memandangk­an beliau sudah batuk semasa tiba di London. Keadaannya kini stabil dan boleh bercakap.

“Tetapi doktor memintanya untuk berehat. Tapi sekali lagi, keadaannya tidak serius dan beliau mungkin dibenarkan keluar selepas tiga atau empat hari,” katanya dari London semasa dihubungi Bernama di sini, semalam.

Mohd Sharkar menjelaska­n gambar beliau bersama Shahiruddi­n yang tular di media sosial sebenarnya menunjukka­n Shahiruddi­n sedang tidur semasa beliau datang melawat dan gambar itu diambil oleh orang lain yang turut berada di wad itu.

Beliau juga memaklumka­n mereka berdua mewakili Pahang dalam delegasi Malaysia yang diketuai Menteri Pelanconga­n dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ke World Travel Mart di Excel London yang berlangsun­g dari 6 hingga 8 Nov ini.

Mohd Sharkar berkata perkembang­an itu telah dimaklumka­n kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang kemudianny­a mengarahka­n beliau untuk memantau dan menguruska­n semua keperluan Shahiruddi­n di hospital itu.

Sementara itu, adik Shahiruddi­n, Nurul Huda semasa dihubungi berkata abangnya berlepas ke London pada Sabtu lalu dan beliau dimaklumka­n abangnya pengsan selepas bersarapan pagi di hotel pada kira-kira jam 9 pagi kelmarin.

“Beliau kini dalam keadaan sedar dan stabil tapi masih ditempatka­n di Unit Rawatan Rapi kerana keadaannya masih perlu dipantau dan doktor perlu melakukan beberapa ujian kesihatan bagi memastikan keadaannya benar-benar baik,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai untuk mendoakan kesihatan abangnya dan tidak menyebarka­n fitnah terutamany­a di laman sosial sehingga mengganggu emosi anggota keluargany­a pada saat-saat begini.

Difahamkan isteri Shahiruddi­n, Datin Seri Arbaayah Abdul Wahab dan dua anaknya berlepas ke London pada pagi semalam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia