Utusan Borneo (Sarawak)

Tiada jaminan 486 guru kontrak JAIS dilantik ke jawatan tetap

-

SHAH ALAM: Kerajaan negeri tidak memberi sebarang jaminan kepada 486 guru kontrak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk dilantik ke perjawatan tetap perkhidmat­an awam walaupun setelah mengikuti kursus perguruan yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankua­sa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembanguna­n Desa dan Kampung Tradisi negeri Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata guru kontrak berkenaan sebaliknya perlu mengikuti prosedur bagi permohonan jawatan tetap selain menghadiri proses temu duga yang diadakan.

“Kursus atau program yang telah mereka (guru kontrak JAIS) hadiri itu adalah untuk menaik taraf kemahiran dalam bidang perguruan... tentang serapan ke jawatan tetap, kita tidak ada proses itu. Mereka kena ikut pros- edur biasa untuk perjawatan tetap.

“Walaupun setelah mereka mengikuti kursus, tiada jaminan untuk diserap ke jawatan tetap,” katanya dalam persidanga­n Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan tambahan daripada Sallehen Mukhyi (PAS-Sabak) mengenai pertimbang­an kerajaan negeri untuk menyerap guru kontrak JAIS ke jawatan tetap.

Terdahulu, Ahmad Yunus (PAS-Sijangkang) memaklumka­n setakat ini seramai 1,028 guru tetap bergred DG29 hingga DG52 berkhidmat bawah JAIS.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankua­sa Tetap Pelaburan, Perindustr­ian dan Perdaganga­n dan Pengangkut­an negeri Datuk Teng Chang Khim mengakui China merupakan negara yang berpotensi untuk ditarik masuk sebagai pelabur memandangk­an ia adalah kuasa ekonomi kedua terbesar dunia.

Malah katanya hubungan diplomatik yang terjalin antara Malaysia dan China selama ini menguatkan lagi langkah untuk mewujudkan peluang pelaburan dari negara itu.

“Untuk Selangor, kita cari pelaburan merangkumi banyak aspek contohnya jika ingin kembangkan industri halal, kita cari peluang dalam sektor itu, kalau e-dagang, kita cari peluang sektor itu pula,” katanya bagi menjawab pertanyaan tambahan Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali).

Mat Nadzari ingin mengetahui mengenai status misi mencari peluang pelaburan kerajaan negeri ke China dan adakah ia membawa potensi besar untuk Selangor. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia