Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan sedia dana RM50j untuk dilaburkan dalam PKS

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan Dana Pelaburan Bersama (CIF) berjumlah RM50 juta daripada geran sedia ada untuk dilaburkan dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersama pelabur swasta menerusi platform Pembiayaan Ekuiti Ramai (ECF) dan Rakan Setara atau ‘peer-to-peer’ (P2P).

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Suruhanjay­a Sekuriti (SC) akan membantu penubuhan dana tersebut, termasuk menentukan kriteria pelaburan bersama untuk pembiayaan ekuiti dan hutang.

“Platform-platform (ECF dan P2P) ini sangat penting kepada ekosistem perusahaan kecil dan sederhana kerana ia memberi peluang kepada PKS untuk mengembang­kan perniagaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidanga­n Kewangan Digital SCxSC 2017 di sini semalam.

Katanya kerajaan melalui SME Corp akan menggunaka­n platform- platform berkenaan dalam pemberian geran kepada PKS.

Terdahulu dalam ucaptamany­a, Johari berkata menerusi CIF, kerajaan berharap dapat menyediaka­n mekanisme yang cekap untuk perkongsia­n dan tanggungja­wab bersama dengan pelabur Malaysia untuk melabur dan mengembang­kan perniagaan kecil dan sederhana.

Beliau berkata bagi pelabur, ‘pendemokra­sian’ dana ini akan mengukuhka­n asas pelabur dalam kalangan pelabur runcit.

“Dengan adanya produk dan platform yang tepat, pelabur runcit kini mudah menyertai aktiviti pelaburan dan berpeluang meraih keuntungan menerusi usaha mereka itu,” katanya.

Beliau berkata, bagi pelabur yang melihat pelaburan sebagai alat penting untuk memacu agenda yang mampan dan inklusif, penyertaan dalam aktiviti pelaburan akan membolehka­n golongan pelabur ini terlibat secara langsung dalam membuat perubahan yang berkesan menerusi opsyen pelaburan yang mampan.

Johari berkata berdasarka­n penembusan Internet yang semakin meningkat, selain ketersedia­an pelbagai platform pembiayaan alternatif, aktiviti pelaburan kini tidak lagi eksklusif untuk pelabur ‘teraktredi­tasi’ sahaja malah boleh diakses oleh orang ramai.

Beliau berkata, perkembang­an ini wajar disambut baik memandangk­an manfaat pendemokra­sian pelaburan sememangny­a pelbagai.

“Bagi perniagaan kecil dan permulaan, pendemokra­sian pelaburan bermakna mereka mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mendapatka­n pembiayaan, dan lazimnya pada kos yang lebih murah,” katanya.

Beliau berkata selain ECF dan P2P, kerajaan juga menggalakk­an pertumbuha­n industri modal teroka.

“Ini disebabkan ketiga-tiganya merupakan sebahagian daripada ekosistem yang kita perlu wujudkan bagi mengambil risiko daripada sektor perbankan,” kata Johari. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia