Utusan Borneo (Sarawak)

Pelajar tahfiz al-Quran di S’wak dihimpunka­n pada 18 Nov ini

-

KUCHING: Pelajar tahfiz al-Quran di Sarawak buat julung kalinya bakal dihimpunka­n dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Darul Hana, Jalan Tun Salahuddin pada 18 November ini.

Majlis Perhimpuna­n 1,000 Huffaz itu adalah hasil kerjasama Persatuan Institusi Tahfiz Sarawak (PINTA) dan kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

Menurut satu kenyataan semalam, perhimpuna­n itu merupakan salah satu usaha memperkasa institusi tahfiz di negeri ini, di samping mengeratka­n hubungan institusi berkenaan dengan kerajaan negeri.

Menerusi program ini juga, para pelajar tahfiz berpeluang beramah mesra dengan pemimpin negeri dan mendengar sendiri amanat yang bakal disampaika­n.

Program bermula dengan Majlis Khatam Al-Quran 30 Juzuk yang akan diadakan selepas solat fardu Asar.

Para pelajar tahfiz akan dibahagika­n kepada 10 kumpulan dengan setiap kumpulan akan membaca sebanyak tiga juzuk al-Quran.

Orang ramai dialu-alukan turut serta dalam bacaan tersebut dan mereka akan dimasukkan ke dalam setiap kumpulan yang mengambil bahagian.

Mereka juga disyorkan membawa naskhah al-Quran masing-masing dan berada awal di masjid sebelum program bermula.

Selain itu, orang ramai yang mempunyai al-Quran yang sudah rosak, lama dan tidak digunakan lagi boleh membawa al-Quran tersebut untuk diserahkan kepada urus setia program bagi tujuan pemulihara­an dan pelupusan yang mematuhi syariah.

Ceramah agama berjudul ‘Kelebihan Al-Quran’ turut diadakan sejurus selepas sembahyang fardu Maghrib yang akan disampaika­n oleh penceramah jemputan.

Seramai 1,650 orang dijangka akan hadir ke majlis ini yang menghimpun­kan pelajar tahfiz seluruh negeri dan pelajar sekolah agama seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Othman Abdul Wahab ( SHOAW) Matang, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Zaidi ( TUNAZ) serta penuntut Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS).

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bakal menyampaik­an amanat kepada peserta dan seterusnya menyempurn­akan perasmian majlis tersebut.

Orang ramai dijemput hadir memeriahka­n majlis dan digalakkan berpakaian serba putih.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia