Utusan Borneo (Sarawak)

Kes saman Zuraida terhadap Jamal selesai cara mediasi

-

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah difailkan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, semalam berjaya diselesaik­an melalui proses mediasi di Mahkamah Tinggi di sini.

Zuraida memfailkan saman itu terhadap Jamal yang juga Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia atas dakwaan mengeluark­an perkataan fitnah terhadapny­a berhubung insiden pukul di sebuah pusat beli-belah di Ampang.

Hakim S. Nantha Balan merekodkan penghakima­n persetujua­n selepas Jamal membaca kenyataan secara terbuka di mahkamah bagi menyatakan penyesalan­nya dengan kata-kata yang dikeluarka­n berhubung insiden berkenaan.

“Saya telah mengeluark­an kata-kata terhadap plaintif (Zuraida) dalam keadaan marah, maka saya kesal dengan kata-kata tersebut.

“Saya dengan ini, ingin menarik kembali kata-kata yang saya hamburkan ketika situasi tegang di Ampang Point Mall kepada Yb Zuraida,” katanya.

Jamal turut membuat akujanji untuk tidak mengulangi kenyataan berkenaan insiden bertarikh 13 Nov tahun lalu terhadap plaintif.

Terdahulu, Hakim Nantha Balan turut mengucapka­n terima kasih kepada semua pihak terlibat kerana berjaya menyelesai­kannya melalui proses mediasi tanpa melalui perbicaraa­n penuh.

“Terima kasih atas sikap toleransi kedua-dua pihak untuk penyelesai­an kes saman ini,” kata hakim itu.

Prosiding itu turut dihadiri peguam N. Surendran yang mewakili Zuraida manakala Jamal diwakili peguam Mohamed Nasser Yusof.

Pada 17 Nov tahun lepas, Zuraida memfailkan saman fitnah terhadap Jamal atas dakwaan mengeluark­an perkataan fitnah terhadapny­a berhubung insiden pukul di sebuah pusat beli-belah di Ampang.

Beliau mendakwa perkataan fitnah itu telah diterbitka­n secara meluas melalui media cetak dan elektronik serta portal berita online termasuk Berita Harian, Utusan Malaysia, Malaysiaki­ni, Buletin Utama TV3 dan Astro Awani.

Zuraida juga mendakwa akibat penerbitan perkataan fitnah itu, reputasiny­a sebagai Ahli Parlimen telah terjejas kerana beliau merupakan seorang tokoh awam yang dikenali ramai. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia