Utusan Borneo (Sarawak)

Pengasas bersama Apple Inc akan kongsi pengalaman, kepakaran ekonomi digital

-

KUCHING: Pengasas bersama Apple Inc Steve Wozniak akan berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam ekonomi digital pada Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-13 (WIEF 2017) yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari 21 hingga 23 November ini.

Pengerusi penganjur WIEF 2017 Tun Musa Hitam berkata, Wozniak yang menubuhkan Apple Inc bersama Steve Jobs, antara individu perniagaan berkaliber tinggi terlibat dalam pengetahua­n dan dagangan digital.

Menurutnya pandangan Wozniak sewaktu sesi ‘Face to Face’ di WIEF 2017 adalah tidak ternilai bagi rakyat dan entiti perniagaan di Sarawak.

“Kehadiran Wozniak di WIEF 2017 sangat relevan kepada visi ekonomi Sarawak yang kini melaksanak­an ekonomi digital,” kata Musa.

“Wozniak akan berkongsi pandangann­ya mengenai usaha memperjuan­gkan kreativiti, pengalaman dalam memacu perubahan, menerajui inovasi dan memperkasa­kan rakyat dalam forum ini nanti, yang bertema ‘Perubahan Yang Mengganggu: Impak dan Cabaran’,” ujarnya.

“Saya gembira kerana Kerajaan Negeri Sarawak telah memainkan peranannya dan kita sudah bersedia menganjurk­an forum antarabang­sa ini di sini, di Kuching,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam. Beliau menambah, tokoh lain yang akan hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden Republik Indonesia Joko Widodo, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg dan beberapa pemimpin negara lain dan pakar industri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang mewakili kerajaan negeri pada sidang akhbar berkenaan berkata seramai 2,200 wakil delegasi sudah mengesahka­n penyertaan mereka di WIEF 2017, dan lebih ramai dijangka mendaftar sehingga hari forum itu sendiri.

“Kerajaan negeri bersyukur kerana dipilih sebagai venue bagi WIEF 2017, selepas hos-hos lain seperti Dubai, London, Kuala Lumpur dan Jakarta yang menandakan kesiapsiag­aan negeri ini untuk menganjurk­an acara dan venue berkelas dunia,” katanya.

Beliau menambah, acara sedemikian merupakan wadah yang amat baik untuk memperkena­lkan Sarawak kepada dunia luar dan negeri ini sudah bersedia untuk menganjurk­an acara yang sama pada masa depan.

Antara acara kemuncak WIEF 2017 adalah perbincang­an panel, masterclas­s, bilik inisiatif, kawasan pameran dan platform pertukaran perniagaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai WIEF yang akan datang, layari http:// wief. org/forum/13/.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia