Utusan Borneo (Sarawak)

Kedah lokasi transit pilihan seludup tenggiling

-

ALOR SETAR: Ketibaan musim sejuk di China dan Vietnam menjadikan permintaan terhadap tenggiling semakin meningkat sehingga Kedah, yang terletak bersempada­n dengan Thailand, menjadi lokasi transit penyeludup­an spesies terlarang ini.

Pengarah Jabatan Perlindung­an Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kedah Muhammad Ali Che Aman berkata, harga sekilo tenggiling yang dianggarka­n RM200 hingga RM300 di negara ini itu boleh mencecah hingga lima kali ganda di pasaran gelap luar negara.

“Sebab itu ia sering berlaku di sempadan Kedah kerana biasanya ia akan ditransit di Thailand pula sebelum diseludup ke China atau Vietnam walaupun di Thailand sendiri undang-undang taman negara mereka agak kuat.

“Untuk mengenal pasti lokasi asal tenggiling ini, kita perlu membuat ujian asid deoksiribo­nukleik ( DNA) terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Wisma Persekutua­n Anak Bukit hari ini.

Beliau berkata mulai Januari lalu hingga semalam, sebanyak 399 tenggiling bernilai RM1.5 juta telah dirampas di beberapa lokasi seperti Alor Setar, Kulim, Bukit Kayu Hitam, Jitra dan Changlun.

Operasi yang dilaksanak­an melibatkan PERHILITAN sendiri, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan polis.

Muhammad Ali berkata pihaknya memberi amaran keras kepada mana- mana individu yang menjalanka­n aktiviti pemburuan dan penjualan haram hidupan liar kerana ia adalah khazanah negara yang tidak ternilai.

Sementara itu Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) negeri Abdul Latif Abdul Rahman berkata sisik tenggiling juga mendapat permintaan tinggi di kedua-dua negara tersebut kerana boleh digunakan untuk tujuan kosmetik.

“Sekilogram sisik tenggiling boleh mencecah harga lebih RM20,000,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Import sisik tenggiling dilarang mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 Butiran 1, Jadual Ketiga Bahagian III kecuali dengan permit import daripada Perhilitan.

Petang semalam, AKSEM merampas 55 bungkusan berisi tenggiling bernilai hampir RM200,000 daripada kenderaan yang dipandu seorang warga Thailand dalam satu sekatan jalan raya berdekatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamata­n (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Sebelum itu pada sebelah pagi, Perhilitan Kedah turut merampas 85 tenggiling bernilai RM350,000 dalam serbuan di sebuah kediaman di Kampung Darat, Changlun dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang dipercayai menjadi ‘runner’. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia