Utusan Borneo (Sarawak)

Penduduk diminta waspada, hujan mungkin sehingga hujung November

-

KUALA LUMPUR: Penduduk di negeri-negeri utara Semenanjun­g Malaysia perlu terus bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku berikutan proses pertukaran monsun yang dialami kini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau menjangkak­an proses pertukaran monsun akan selesai sepenuhnya akhir November ini.

“Jabatan Meteorolog­i telah meramalkan gelombang kedua akan berlaku sehingga tamat pertukaran monsun ini, iaitu dalam minggu pertama November.

“Tetapi melihat kepada keadaan, saya jangka sehingga hujung bulan ini ia baru akan selesai sepenuhnya kerana keadaan cuaca pun sangat tidak menentu sekarang,” kata beliau kepada wartawan di sini semalam.

Sabtu lepas, Pulau Pinang dilanda banjir luar biasa sehingga melumpuhka­n sistem infrastruk­tur di negeri itu dan mengorbank­an tujuh nyawa.

Mengenai dana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk projek mitigasi banjir di Pulau Pinang, Wan Junaidi berkata kementeria­n itu melalui Jabatan Pengaliran dan Saliran bersedia untuk melaksanak­an kajian teknikal ke atas sistem dan infrastruk­tur sedia ada serta yang diperlukan.

Katanya antara aspek yang akan diberi perhatian ialah sistem perparitan dan saliran, kolam takungan dan penambakan pesisir pantai.

“Banjir luar biasa pada Sabtu lepas menunjukka­n kemudahan mitigasi banjir sedia ada tidak mencukupi,” katanya.

Najib dalam lawatannya ke Pulau Pinang pada Selasa telah mengumumka­n bantuan RM1 bilion untuk melaksanak­an 13 projek mitigasi banjir di negeri itu.

Dalam hal lain, Wan Junaidi berkata satu kolokium mitigasi banjir akan diadakan pada Januari depan untuk melihat model terbaik dan berkesan untuk membendung ancaman banjir di setiap negeri di Malaysia.

Terdahulu semasa melawat Sekolah Menengah Persendiri­an Chong Hwa di sini, Wan Junaidi berkata beliau sendiri akan menyediaka­n kertas cadangan untuk dikemukaka­n kepada Kabinet mengenai permohonan sekolah itu untuk melanjutka­n sewaan sebidang tanah seluas 1.2 hektar yang dipunyai kerajaan Persekutua­n untuk tujuan pembinaan sebuah kompleks sukan sekolah itu, daripada 30 tahun kepada 99 tahun. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia