Utusan Borneo (Sarawak)

KP1M agih bantuan 20 kontena barangan keperluan mangsa banjir

-

BUKIT MERTAJAM: Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) semalam mengagihka­n 20 kontena bantuan pelbagai barangan keperluan kepada mangsa banjir di seluruh Pulau Pinang.

Presiden KP1M Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata antara sumbangan yang diserahkan ialah tilam, bantal, susu bayi dan kit penjagaan kebersihan yang diagih secara berperingk­at bermula hari ini.

“Kami membuat tinjauan terlebih dahulu di pusat pemindahan sebelum menyalurka­n bantuan dan mendapati mangsa banjir memerlukan kelengkapa­n harian selepas kebanyakan barang-barang itu rosak ketika banjir melanda sejak Sabtu lepas.

“Oleh itu, KP1M menyediaka­n sejumlah 10,000 tilam dan 20,000 bantal termasuk selimut serta pelbagai barang keperluan lain untuk semua mangsa banjir,” katanya ketika ditemui selepas menyampaik­an bantuan kepada mangsa di pusat pemindahan di Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah, di sini, semalam.

Beliau berkata, bantuan itu bukan hanya kepada mangsa yang ditempatka­n di pusat pemindahan malah pihaknya turut memberikan kepada mereka yang tinggal di rumah ketika berlaku musibah itu.

“Untuk hari ini (semalam) sebanyak 20 kontena barang akan diagihkan manakala 20 lagi akan sampai esok (hari ini) dan kami akan menambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata, 500 sukarelawa­n KP1M juga akan membantu mangsa banjir membersihk­an kediaman mereka yang terjejas selepas ini.

Seorang mangsa banjir Ariffin Hassan, 72, yang tidak dapat menahan linangan air mata ketika menerima sumbangan daripada KP1M, melahirkan rasa syukur menerima bantuan itu. Rumahnya dinaiki air kira-kira 1.5 meter Sabtu lepas.

“Saya sangat sebak dan tidak mampu menahan air mata ini kerana terharu apa- bila ada pihak sudi menghulur bantuan selepas kami ditimpa musibah banjir sehingga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan.

“Banjir kali ini memang buruk selama tinggal di kawasan itu sejak 50 tahun, ini kejadian banjir yang terburuk. Banyak kelengkapa­n rumah rosak kerana air naik terlalu cepat sehingga saya tidak sempat berbuat apa-apa,” katanya yang tinggal di Kampung Padang Lalang.

Beliau turut mengucapka­n terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melawat mereka di pusat pemindahan di Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah semalam dan prihatin dengan nasib mangsa di situ.

“Beliau (Najib) sempat datang bertemu dengan saya dan isteri, Tengku Rohani Tengku Saad, 62, malah meminta kami bersabar. Perdana menteri juga berjanji akan bantu semua mangsa banjir terlibat, terima kasih kerana prihatin nasib kami,” kata peniaga kuih itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia