Tiada kompromi jika tidak daftar perusahaan, pekerja
Majikan didenda atau dikompaun jika gagal patuhi akta
TAMBUNAN: Pertubuhan Keselamatan Sosial ( PERKESO) tidak akan berkompromi dengan manamana majikan yang enggan mendaftar perusahaan dan pekerja mereka seperti dikehendaki Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
Pengurus PERKESO Keningau Rijal Jamaluddin berkata kegagalan mematuhi akta itu boleh menyebabkan majikan diheret ke muka pengadilan dan dikenakan denda atau kompaun.
“Mengikut Seksyen 94 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, majikan boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya pada Majlis Program Seranta Perkeso 2017 di Tambunan semalam.
Beliau berkata, kelewatan mendaftar perusahaan dan pekerja melebihi 30 hari boleh dikompaun RM500, melebihi setahun hingga dua tahun (kompaun RM1,500), melebihi dua tahun hingga lima tahun (kompaun RM2,000) dan melebihi lima tahun (kompaun RM4,000).
“Pematuhan akta ini tidak bermaksud menyusahkan majikan sebaliknya ia lebih kepada memberi kemudahan kepada semua pihak termasuk PERKESO, pekerja dan majikan itu sendiri,” katanya.
Menurut Rijal, sepanjang September 2017, sebanyak tujuh kes kompaun bernilai RM6,000 direkodkan di Tambunan melibatkan kesalahan tidak mendaftarkan perusahaan dan pekerja.
“PERKESO sedia memberi khidmat nasihat khususnya kepada majikan yang tidak faham fungsi dan tugas agensi ini. Kita juga menawarkan perkhidmatan mengenai peranan dan tanggungjawab agensi ini melalui Skuad Perihatin PERKESO,” katanya.
Mengenai majlis yang dihadiri 60 peserta terdiri daripada majikan, pekerja serta orang ramai di sekitar daerah itu, Rijal berkata ia dianjurkan untuk memberi pendedahan mengenai peranan dan tanggungjawab PERKESO.
Beliau mengajak masyarakat setempat agar menjadi ‘telinga dan mata’ PERKESOdengan memaklumkan agensi itu mengenai sebarang insiden kematian dan kemalangan melibatkan pencarum PERKESO di kawasan masing-masing. — Bernama