Utusan Borneo (Sarawak)

PPM Tawau gagalkan cubaan seludup keluar pelbagai jenis barang kawalan

-

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menggagalk­an cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup ke negara jiran pelbagai jenis barangan kawalan bernilai hampir RM24,000 menerusi laut Sungai Pukol dekat sini, petang kelmarin.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Yazib Abdul Aziz berkata, kejayaan penahanan itu susulan bot jongkong dipandu juragan berusia 28 tahun itu dipintas bot PPM yang menjalanka­n rondaan Tugas Ops Maharlika Interpol pada jam 5.21 petang.

“Hasil pemeriksaa­n di ruang kargo jongkong, anggota PPM menemukan 29 tong gas jenama Petronas bernilai RM5,220; 10 tong gas jenama MyGaz (RM1,800); 70 plastik gula jenama Gula Prai (RM5,040); 55 kotak minyak masak pelbagai jenama (RM2,525) dan 18 kotak tepung pelbagai jenama (RM324),” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Susulan penemuan itu, Yazib berkata pemeriksaa­n lanjut dilakukan dan juragan gagal menunjukka­n sebarang doku- men seperti lesen perniagaan serta sijil membawa bekalan barang kawalan daripada Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an.

Sementara itu, katanya pada Isnin lepas, Unit Risikan Marin (URM) turut menggagalk­an cubaan dua lelaki termasuk pemilik bot menyeludup keluar 40 tong gas bernilai RM8,000 di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Logpond di sini pada jam 6 petang.

Yazib berkata, kedua-dua suspek berusia 23 dan 34 tahun itu ditahan selepas bot yang membawa muatan 34 tong gas petronas (RM6,800) dan enam tong gas MyGaz (RM1,200) dipintas anggota URM dengan bantuan bot PPM Tawau, sebelum gagal menunjukka­n sebarang dokumen sah berhubung barang kawalan yang dibawa.

Beliau berkata semua tangkapan dan rampasan dalam tempoh dua hari itu diiring ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia