Utusan Borneo (Sarawak)

LKNS hasilkan 35 koleksi pakaian tradisi

-

PENAMPANG: Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) telah berjaya menghasilk­an sebanyak 35 koleksi pakaian tradisi etnik di Sabah sejak kursus kemahiran menjahit pakaian itu dilaksanak­an pada tahun 2007.

Pengerusi LKNS Tan Sri Wences Angang berkata, kursus kemahiran menjahit pakaian tradisi merupakan salah satu program yang dianjurkan lembaga itu sejak 2007 sebagai salah satu usaha ke arah membantu memulihara dan memelihara harta warisan yang diperturun­kan oleh nenek moyang.

“Ini adalah usaha berterusan LKNS untuk membantu memulihara dan memelihara harta warisan ini, yang kini semakin hilang dan mula dilupai oleh generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan dan penyampaia­n sijil peserta Kursus Kemahiran Menjahit Pakaian Tradisi Sesi 2017 di Pusat Kebudayaan Sabah, di sini pada Selasa.

Tahun ini, LKNS sekali lagi telah berjaya menganjurk­an kursus kemahiran menjahit pakaian tradisi dengan melibatkan 30 peserta.

Kali ini, pakaian tradisi yang telah dijahit adalah daripada etnik Kadazan Penampang, etnik Dusun Tambunan, etnik Brunei, etnik Kadazan Papar dan etnik Murut Nabai Keningau.

“Dengan cara sebegini, kita dapat meningkatk­an status kebudayaan dan kesenian di samping dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk memajukan, memperkaya dan memelihara budaya etnik masing-masing.

“Selain itu, peserta juga dapat mempelajar­i dan seterusnya mendapat dorongan memperkemb­ang serta mempromosi­kan keunikan dan kepelbagai­an kesenian etnik yang terdapat di negeri Sabah terutama golongan generasi baharu,” katanya.

Wences berharap agar program seperti itu dapat dilaksanak­an di masa akan datang dengan melibatkan etnik lain yang terdapat di negeri Sabah.

Beliau berkata, sebanyak 35 etnik terdapat di negeri Sabah yang mempunyai 217 subetnik.

“Dengan demikian, etnik yang terdapat di Sabah mendapat manfaat yang sama sehingga dapat saling membantu memulihara dan memilihara warisan kita,” katanya.

Dengan adanya kemudahan di LKNS, beliau yakin LKNS dapat menganjurk­an pelbagai aktiviti di masa akan datang dan boleh menjadi fasilitato­r ke arah melahirkan masyarakat mahir dan arif tentang kebudayaan dan kesenian yang terdapat di negeri ini.

Turut hadir ialah Pengurus Besar LKNS William Baya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia