Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan rancang bina balai polis baharu di DUN Stakan

-

KUCHING: Kerajaan merancang membina sebuah balai polis baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti lokasi strategik untuk membina balai polis baharu itu.

Jelasnya, balai polis baharu itu dianggarka­n memerlukan tanah seluas lima ekar dengan kos sebanyak RM20 juta.

Beliau memberitah­u, pembinaan balai baharu itu selari dengan keperluan kawasan tersebut ekoran pembanguna­n yang kian pesat di situ.

“Oleh yang demikian, keperluan untuk menambah anggota polis dan membina balai polis ini perlu untuk memastikan keadaan keselamata­n khususnya untuk DUN Stakan.

“Sehubungan itu, kerajaan merancang mewujudkan sebuah balai polis di DUN Stakan dan pada masa ini PDRM sedang dalam proses mengenal pasti lokasi yang strategik,” katanya.

Uggah berkata demikian bagi menjawab soalan Dato Sri Mohammad Ali Mahmud (BN-Stakan) pada Persidanga­n Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembanguna­n Wilayah itu menambah, balai polis baharu bakal mempunyai kemudahan yang diperlukan.

Antaranya bangunan balai polis, kuarters kediaman kelas E satu unit, kuarters kediaman kelas F (16 unit), stor barang kes, pondok pengawal, garaj kenderaan, rumah sampah dan dewan serba guna, rumah pam, pencawang elektrik dan surau.

Sementara itu, Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata, kerajaan negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalanka­n kajian untuk mengenal pasti lokasi sebenar yang strategik bagi pembinaan Jambatan Batang Rajang.

Beliau menjelaska­n, kajian itu merangkumi penelitian kedudukan jambatan dan jajaran jalan yang sesuai untuk dikemukaka­n kepada Unit Perancanga­n Negeri (SPA) bagi pertimbang­an.

“Jangkaan Jambatan Batang Rajang ini dibina pada suku kedua 2019 dan panjang jambatan ini dianggarka­n 1,280 meter,” katanya ketika menjawab soalan Dato Sri Huang Tiong Sii (BN-Rapok).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia