Utusan Borneo (Sarawak)

Pertembung­an England, Jerman buka peluang untuk pemain muda

-

LONDON, England: Dengan kedua-dua pasukan diselubung­i masalah kecederaan, perlawanan persahabat­an di Stadium Wembley hari ini di antara England dan Jerman akan mewakili satu peluang untuk pemain muda, simpanan dan pertama kali beraksi untuk memburu tempat ke Piala Dunia 2018 di Rusia.

Harry Kane, Dele Alli dan Raheem Sterling adalah antara pemain yang menarik diri dari skuad England kerana kecederaan sementara Jerman akan beraksi tanpa Manuel Neuer, Jerome Boateng dan Thomas Mueller.

Ketika penyokong yang akan ke Wembley mungkin kecewa dengan ketiadaan begitu ramai pemain bintang, pemain yang masih kekal akan berusaha untuk menarik perhatian masing-masing.

“Saya tidak pernah ke sana (Wembley),” kata pemain pertahanan Jerman berusia 22 tahun, Niklas Suele, yang mungkin berganding­an dengan Mats Hummels di posisi pertahanan tengah ekoran ketiadaan Boateng.

“Ia salah satu stadium terbesar dan terbaik di dunia dan ia pastinya sangat hebat untuk saya bermain di sana.”

Hummels dijangka cergas walaupun tidak berlatih Rabu lepas kerana kecederaan kecil tetapi pemain tengah, Toni Kroos, diragui dapat diturunkan kerana masalah perut.

Pemain tengah, Ilkay Gundogan dan Mario Goetze berharap untuk membuktika­n kemampuan mereka untuk satu tempat ke Rusia selepas agak lama tidak beraksi kerana kecederaan dan masalah kesihatan.

Kedua-dua pemain belum bermain untuk Jerman sejak November 2016 dengan Gundongan mengalami kecederaan lutut yang serius dan Goetze mengalami masalah kesihatan.

Jurulatih England, Gareth Southgate kehilangan empat lagi pemain kerana kecederaan selepas Adam Lallana, Jordan Henderson, Harry Winks dan Fabian Delph terpaksa menarik diri.

Skuad England sudah kurang pengalaman selepas memilih untuk memanggil pemain baharu, Joe Gomez, Ruben Loftus-Cheek dan Tammy Abraham.

Southgate juga memanggil seorang lagi muka baharu, Jack Cork dari kelab Burnley, dengan pemain pertahanan, Michael Keane dan Jake Livermore juga menyertai skuad.

Apa pun, Southgate sentiasa mahu menggunaka­n perlawanan hari ini – dan menentang Brazil pada hari Selasa – untuk menguji pilihan pemain dengan satu sasaran untuk ke Rusia.

England dan Jerman bagaimanap­un tidak memandang mudah perlawanan persahabat­an ini kerana ia adalah persediaan penting untuk Piala Dunia 2018.

Jerman, yang belum tewas dalam 19 perlawanan, akan menentang Perancis pada perlawanan persahabat­an seterusnya Selasa depan dan juga mempunyai jadual menentang Sepanyol dan Brazil untuk persediaan terakhir pada bulan Mac tahun hadapan sementara Itali menjadi lawan England pada perlawanan pertama tahun hadapan.

Jamie Vardy menjaringk­an gol pertamanya bersama England ketika bangkit dari ketinggala­n sebelum menang 3-2 ke atas Jerman pada Mac 2016 dan beliau berkata saingan dalam pasukan adalah penting untuk peningkata­n pasukan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia