Utusan Borneo (Sarawak)

Zi Suen pamer potensi besar pada ujian TID di SSBJ

-

KUCHING: Pemain badminton remaja Lee Zi Suen mempamer potensi besar apabila berjaya menduduki ranking kelapan daripada 21 peserta yang mengikuti ujian pengecaman bakat (TID) diadakan di Sekolah Sukan Bukit Jalil ( SSBJ) bagi kemasukan 2018, barubaru ini.

Murid tahun enam SJK Chung Hua No 4 itu muncul satu- satunya peserta dari Sarawak dipilih oleh Persatuan Badminton Malaysia ( BAM) untuk menyertai TID tersebut.

Beliau telah menjalani latihan selama dua tahun di bawah kendalian Ketua Jurulatih Persatuan Badminton Bahagian Kuching, Johnny Ng.

“Saya berpuas hati dengan prestasi Zi Suen dan percaya beliau berpeluang besar menyertai SSBJ pada tahun depan,” ujar Ng semalam.

Menyertai Zi Suen pada TID berkenaan peserta dari Selangor, Sabah, Johor, Putrajaya, Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Pahang.

“Kami meletakkan harapan tinggi terhadap Zi Suen untuk mengharum bukan sahaja nama Kuching malah Sarawak selain menjadi inspirasi dan galakan kepada pemain muda,” tambah Ng.

Zi Suen menjalani dua sesi latihan di Cross Fit Gym dan latihan di gelanggang setiap Selasa hingga Ahad di gelanggang Stampark.

Pada hujung minggu, beliau menjalani latihan di sebelah pagi dan petang.

Antara kejayaan beliau memenangi acara beregu dan perseorang­an Bawah 12 Tahun MSS Kuching, juara beregu Bawah 12 Tahun MSS Betong, juara perseorang­an dan beregu Bawah 12 Tahun Tertutup Remaja Sarawak (Pusingan Pertama dan Kedua).

Pemain itu akan menyertai Kejohanan Berpasukan Bawah 16 dan 12 Tahun Antara Negeri Remaja Kebangsaan BAM dijadual pada 20-24 November 2017 di Johor.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia