Utusan Borneo (Sarawak)

Kayuhan solo berbasikal kumpul maklumat bekas wartawan

-

USIA 67 tahun tidak mematahkan semangat wartawan sambilan, Che Saad Noordin untuk berbasikal secara solo mengelilin­gi Semenanjun­g Malaysia bagi mengumpulk­an senarai bekas wartawan.

Beliau yang memulakan kayuhan di Kampung Baru Peramu di Kuantan pada Isnin menjangkak­an kayuhannya akan mengambi masa selama kira-kira sebulan sebelum berakhir di Perlis, meliputi jarak sejauh 2,000 kilometer.

“Saya berhasrat mahu mengunjung­i bekas wartawan seramai yang boleh dan dapatkan maklumat mereka untuk disampaika­n kepada Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis Melayu Malaysia,” katanya semasa ditemui Bernama di Kuantan, baru-baru ini.

Che Saad yang mesra dipanggil ‘Pak Saad’ merupakan wartawan sambilan Bernama di Kedah dan sebelum ini, pernah bertugas dengan Bintang Timur, Utusan Malaysia, Berita Harian, Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan Watan Harian.

Beliau mula berkecimpu­ng dalam bidang kewartawan­an pada tahun 1982.

Che Saad menambah berbasikal dalam jarak yang jauh bukan satu perkara baharu kepada dirinya kerana pernah menyertai Program Jelajah Kayuhan Semenanjun­g dan Penghujung Benua Asia pada 2015 dan Kayuan Muzium Jelajah Semenanjun­g pada tahun lepas.

“Untuk kayuhan kali ini, saya membawa bersama khemah dan pakaian sahaja. Khemah adalah sebagai plan B jika tempat saya berehat tidak mempunyai masjid, hotel atau rumah kenalan yang boleh ditumpang,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia