BANTERAS PEMBALAKAN HARAM
Sarawak memerlukan renjer dron bagi meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan aktiviti pembalakan haram
Sarawak perlu renjer dron untuk meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan kegiatan pembalakan haram.
SANTUBONG: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg menjelaskan bahawa Sarawak memerlukan Renjer Dron bagi meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan aktiviti pembalakan haram di negeri ini.
Katanya penggunaan dron sebagai aset peninjau merupakan salah satu inisiatif baharu yang mampu meminimumkan pencerobohan hutan di Sarawak.
“Apa yang kita perlukan sekarang ialah drone ranger selain renjer hutan untuk memastikan sumber asli (hutan) Sarawak terjaga.
“Dron boleh berada di mana sahaja dan meninjau dari kedudukan yang tinggi untuk mengesan pergerakan dan aktiviti haram di hutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Aplikasi Komputer dan Dron ( IconDA) 2017 anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Kajian dan Inovasi) UiTM Profesor Dr Abdul Rahman Omar dan Rektor UiTM Sarawak Profesor Datuk Dr Jamil Hamali.
Mengakui dron memerlukan sistem dan pusat kawalan, Abang Johari berkata Sarawak perlu memastikan keselamatan siber untuk melindunginya.
Menjelaskan perkara itu, katanya kajian akan dilakukan bagi memastikan keselamatan terjamin demi masa depan negeri Sarawak.
“Sekarang kita telahpun menggunakan dron untuk melakukan peninjauan, tetapi aset yang digunakan itu berskala kecil dan kini memerlukan dron khas yang lebih besar dan berteknologi canggih,” ujarnya.
Bercakap mengenai pelesenan dron selepas Akta Lembaga Multimedia Sarawak (LMS) diluluskan, Abang Johari berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Setakat ini, katanya belum ada cadangan untuk melesenkan penggunaan dron di Sarawak.
“Tetapi apa sahaja yang berkaitan dengan tanah kita (Sarawak) di bawah bidang kuasa negeri, maka ia akan ditentukan oleh LMS,” katanya.
Atas sebab itu katanya, Sarawak memerlukan LMS yang bersifat luas bukan hanya melibatkan media sosial tetapi merangkumi semua aspek teknologi multimedia.
Sementara itu, penganjuran IconDA buat pertama kali di Sarawak itu disertai 200 peserta termasuk Malaysia, India, Singapura, Iran dan Nigeria.
Persidangan itu bertujuan menggalakkan pemindahan serta perkongsian pengetahuan berkaitan aplikasi komputer dan teknologi dron di antara pakar antarabangsa dengan warga Sarawak sekali gus mewujudkan jaringan pengetahuan dalam membantu menjayakan dasar ekonomi digital menjelang 2030.
“Apa yang kita perlukan sekarang ialah drone ranger selain renjer hutan untuk memastikan sumber asli (hutan) Sarawak ” terjaga. Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg Ketua Menteri