Skandal Rusia hantui lawatan Trump
Presiden AS itu dakwa percaya Putin jujur tetapi turut menyokong hasil perisikan
HANOI: Donald Trump semalam menyatakan beliau menyokong agensi perisikan AS yang memutuskan Rusia campur tangan dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) pada 2016, namun mengulangi kepercayaannya terhadap kejujuran Vladimir Putin dan mengecam pengkritik mengenai hubungannya dengan pemimpin Rusia tersebut.
Bekas pembantu utama Trump di bawah siasatan atas kemungkinan bekerjasama dengan Kremlin dan isu campur tangan Moscow menutup jelajah Asianya.
Trump kembali kepada tajuk tersebut dalam serbuan kenyataan Twitter pada awal pagi, yang turut melihat beliau menyindir pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.
Berucap dalam sidang media di Hanoi, Trump diminta mengesahkan komen yang dibuatnya dalam Air Force One pada hari sebelumnya mengenai ketegasan Putin bahawa Moscow tidak pernah cuba menjejaskan keputusan pilihan raya AS.
“Saya percaya beliau berasa beliau dan Rusia tidak campur tangan dalam pilihan raya,” jelas Trump.
“Sama ada saya akan mempercayainya atau tidak, saya sepakat dengan agensi kita dan saya percaya terhadap agensi perisikan kita,” tambah beliau.
Pada Mei lepas, para ketua perisikan AS memberitahu Kongres bahawa mereka bersetuju dengan keputusan pihak penganalisis mereka bahawa Rusia telah campur tangan dalam pilihan raya tahun lepas.
Pengarah CIA Mike Pompeo, yang telah dilantik oleh Trump, menyatakan beliau masih percaya terhadap penilaian itu dalam satu kenyataan kepada CNN kelmarin.
Trump berada di Hanoi bagi lawatan seketika dengan para pemimpin kanan komunis di Vietnam bagi mengesahkan perjanjian dagangan dan seterusnya mendapatkan sokongan lanjut dalam mengawal cita-cita senjata nuklear Korea Utara, yang mendominasi setiap bahagian jelajah Asianya.
Memetik kenyataan pegawai dan media rasmi Korea Utara mengenai beliau sebagai lelaki tua, satu lagi kenyataanTwitterolehTrump mencadangkan beliau kecewa dengan apa yang dianggapnya sebagai satu serangan peribadi daripada pemimpin muda Utara tersebut.
“Kenapa Kim Jong- un harus mencemuh saya dengan menggelar saya tua, sedangkan saya tidak mungkin akan menggelarnya pendek dan gemuk?” tulis Trump.
“Baiklah, saya cuba sedaya upaya untuk menjadi rakannya, dan mungkin suatu hari nanti itu akan berlaku!” tambah beliau lagi.
Lewat kemudian semasa sidang media, beliau menegaskan beliau tidak bergurau mengenai persahabatan dengan pemimpin terbabit yang dicemuhnya minggu lepas sebagai diktator bermasalah.
Trump meninggalkan Hanoi untuk ke Filipina lewat semalam, persinggahan terakhir dalam jelajah Asia.
Filipina dan Vietnam merupakan dua negara yang bertelagah dengan Beijing mengenai dakwaan pertindihan tuntutan di Laut China Selatan yang kaya dengan sumber alam.
Vietnam telah menyeru bantuan ketenteraan daripada Washington mengenai perbalahan itu, dan Trump semalam menyatakan beliau akan membantu merundingkan konflik tersebut.
“Sekiranya saya boleh membantu berunding atau mendamaikan, tolong maklumkan saya.
“Saya adalah seorang perunding yang baik,” Trump memberitahu Presiden Vietnam Tran Dai Quang.
Pada masa lampau, China berang terhadap mana-mana cadangan bagi campur tangan AS, menyatakan Washington tidak mempunyai peranan atau hak dalam perbalahan tersebut. — AFP