Utusan Borneo (Sarawak)

KDN kecewa dengan sikap Dr Zamihan

-

JOHOR BAHRU: Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) kecewa dengan sikap pendakwah kontrovers­i, Dr Zamihan Mat Zin Al-Ghari yang dilihat terus- terusan memperleke­hkan amaran dan nasihat yang diberikan oleh pelbagai pihak terhadap kenyataan-kenyataan yang dikeluarka­nnya.

Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kenyataan yang dikeluarka­n oleh Zamihan yang dilihat menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, berkaitan pembinaan bangunan kekal Pusat Keamanan Antarabang­sa Raja Salman (KSCIP) tidak wajar diutarakan oleh seorang yang dikatakan sebagai ‘aset’ penting kerajaan.

“Kita kecewa kerana sebelum ini dia (Zamihan) telah mencabar institusi diraja, keagamaan dan baru-baru ini Perdana Menteri pula jadi sasarannya. Kita memang tidak mempertika­ikan kewibawaan beliau dalam menjalanka­n tugas di KDN tetapi sebagai seorang pegawai kerajaan, beliau tidak boleh bertindak secara peribadi.

“Walaupun Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi pengiktira­fan kepada kebolehan beliau, saya tetap mahu dia tutup mulut, berfikir dahulu sebelum mengeluark­an kenyataan dan kalau memang dia tidak boleh menerima dasar kerajaan, dia boleh keluar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Nur Jazlan berkata demikian ketika mengulas video Zamihan berdurasi 2 minit 27 saat yang viral baru-baru ini yang mengeluark­an kenyataan menyifatka­n tindakan Perdana Menteri membenarka­n pembinaan KSCIP sebagai satu tindakan yang ‘kurang cerdik’.

Menurut Nur Jazlan, sebagai pegawai KDN, Zamihan juga perlu berhati-hati dengan kenyataan yang dikeluarka­nnya terutamany­a dalam halhal berkaitan keganasan dan tidak menolak kemungkina­n mempertimb­angkan semula peranan Zamihan di KDN.

“Setiap perkataan yang beliau keluarkan kepada awam itu menggambar­kan imej dan integriti KDN. Saya juga minta beliau untuk tidak mensensasi­kan keadaan keganasan yang agak tegang yang sedang berlaku di Timur Tengah.

“Segala pertuturan beliau dipantau dan boleh menimbulka­n masalah, jadi saya minta beliau untuk senyap. Sekiranya beliau masih juga berdegil dan masih memberikan kesulitan kepada KDN, kita mungkin akan nilai kembali peranan dia kepada kementeria­n dalam mendamaika­n tahanan pengganas,” katanya.

Menurutnya lagi, tindakan mempersoal­kan pembinaan KSCIP di atas tanah seluas 16 hektar di Putrajaya juga dilihat bertentang­an dengan dasar kerajaan yang telah menjalin kerjasama yang baik dengan kerajaan Arab Saudi lebih-lebih lagi KSCIP merupakan ilham peribadi Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

“Kenapa dia ( Zamihan) perlu mempersoal­kan pembinaan KSCIP, sedangkan kos pembinaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi dan pembinaan bangunan tersebut juga boleh membantu kepada pembanguna­n agama Islam dalam negara.

“Dia sebagai seorang anggota kerajaan tidak boleh memberikan pandangan peribadi, itu melanggar dasar yang dibuat oleh kerajaan, kalau dia tak suka dia kena berhenti lah,” tegasnya.

Zamihan merupakan seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang dipinjamka­n kepada KDN dan kini ditempatka­n di Jabatan Penjara Malaysia sebagai pegawai pemulihan pengganas dan penjenayah ekstremis.

Beliau juga merupakan Presiden Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) dan merupakan Penolong Setiausaha Kanan Bahagian, Bahagian Keselamata­n dan Ketenteram­an Awam KDN.

Zamihan sebelum ini ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana kenyataann­ya yang didakwa mengkritik Sultan Johor berhubung titah mengenai kedai dobi layan diri untuk Muslim saja. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia