Aguero pertahan maruah Argentina
MOSCOW, Rusia: Gol lewat Sergio Aguero m e m a s t i k a n A r g e n t i n a menewaskan tuan rumah Piala Dunia 2018, Rusia, 1-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa Sabtu lepas. Gol oleh penyerang kelab Manchester City itu memberikan kemenangan selayaknya buat pasukan dari Amerika Selatan di Stadium Lizhniki, yang memuatkan 81,000 tempat duduk. “Kami datang ke sini untuk bermain menentang pasukan yang berdisiplin dan teratur,” kata jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli.
“Kami melakukan beberapa kesilapan dalam separuh masa pertama tetapi dalam separuh masa kedua, kami memperbaikinya. Kami bermain dengan lebih yakin.
“Semua yang kami rancang berhasil. Kami bermain dengan lebih berani dan mudah.”
Sampaoli juga memberikan pujian khas kepada Aguero.
“Aguero bermain dengan sangat baik. Beliau memahami prinsip permainan dan sangat aktif sepanjang perlawanan walaupun dikawal ketat.”
Argentina, diketuai Lionel Messi, mempunyai peluang pertama pada minit ke-21 apabila Angel Di Maria menerima umpanan Messi tetapi penjaga gol Rusia, Igor Akinfeev menepis bola untuk tendangan sudut.
Tiga minit kemudian, Aguero memaksa Akinfeev beraksi tangkas menepis cubaan dari luar kotak penalti.
Akinfeev menjadi wira Rusia dalam separuh masa pertama selepas menepis beberapa cubaan termasuk satu lagi rembatan jarak jauh Aguero.
Argentina mengekalkan penguasaan bola selepas rehat dan terus mengasak pintu gol Rusia tetapi gagal memecah kebuntuan sehingga pada minit ke-86 apabila Aguero menanduk bola muntah selepas rembatan awal beliau dihadang.
“Kami menjangkakan perlawanan yang sukar dan juga kami tidak akan mampu menguasai bola atau bermain lebih kreatif,” kata jurulatih Rusia, Stanislav Cherchesov.
“Argentina menjaringkan gol selepas pengadil gagal melihat salah seorang pemain mereka berada pada kedudukan ofsaid tetapi saya boleh berkata mereka selayaknya menang.” — AFP