Utusan Borneo (Sarawak)

Loew jadikan pertemuan dengan Perancis satu ujian

-

BERLIN, Jerman: Perlawanan persahabat­an di antara Jerman dan Perancis Selasa ini menawarkan jurulatih Jerman, Joachim Loew, satu peluang untuk membalas dendam tetapi beliau kelihatan lebih melihat persediaan Piala Dunia 2018 berbanding mengimbau kekecewaan di Euro 2016.

“Ada beberapa pemain yang saya mahu uji menentang pasukan hebat,” kata Loew menjelang perlawanan menentang Perancis di Cologne Selasa ini, dengan kekalahan 0-2 kepada Perancis di perlawanan separuh akhir Euro 2016 adalah kekalahan terakhir Jerman.

Loew membimbing Jerman pada dua perlawanan persahabat­an antarabang­sa, selepas seri tanpa jaringan dengan England pada hari Jumaat dan menentang Perancis, adalah peluang untuk membuat eksperimen dan mencuba pemain lain untuk persediaan ke Piala Dunia.

Beliau juga mempunyai perlawanan persediaan lain menentang Sepanyol dan Brazil tahun hadapan untuk mencari skuad ke Rusia, tuan rumah Piala Dunia 2018.

“England dan Perancis adalah kayu pengukur untuk kami,” kata Loew selepas seri dengan England di Stadium Wembley. “Saya mahu melihat di mana kedudukan beberapa pemain. Ia adalah lebih penting berbanding keputusan perlawanan.

“Saya fikir Perancis lebih bagus berbanding England,” kata beliau. “Perancis sangat pantas melakukan serangan dan di bahagian tengah mereka cukup kental dan berbahaya berbanding England.”

Di Wembley, Jerman menguasai separuh masa pertama dan mencipta beberapa peluang tetapi gagal melakukan penyudah tepat.

Selasa ini, Loew akan menguji beberapa pemain di mana tempat mereka di Piala Dunia masih belum terjamin seperti pemain pertahanan, Marcel Halstenber­g dan Marin Plattenhar­dt. Beliau juga berminat untuk melihat prestasi penyerang Amin Younes dan Lars Stindl.

Loew juga akan menurunkan semula beberapa pemain yang membantu Jerman memenangi Piala Dunia 2014, Toni Kroos dan Sami Khedira, yang direhatkan ketika menentang England dan juga Mario Goetze, yang sudah kembali dari masalah kesihatan dan juga kecederaan.

Sejak tewas kepada Perancis di Euro 2016, Jerman belum tewas dalam 20 perlawanan, kurang tiga kemenangan dari rekod yang mereka cipta di antara 1979 dan 1980. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia