Utusan Borneo (Sarawak)

CERITA BIDAYUH

-

BERUANG mengajak rakannya kekura untuk bertanam pisang. “Kalau kita ada pokok pisang sendiri, apabila buahnya sudah masak, untung kita, kawan. Tak payah lagi kita hendak mencuri orang punya,” kata beruang.

Pagi berikutnya kekura pun mendapatka­n sebatang anak pisang yang sederhana besar dan membawanya kepada beruang. Beruang mengambil batang pisang itu dan terus memotongny­a menjadi dua.

“Yang ini aku punya,” kata beruang sambil mengambil bahagian sebelah atas yang sudah berdaun. Pada fikirannya, bahagian itu akan cepat tumbuh dan membesar apabila ditanam nanti. “Awak ambil yang ini,” tambahnya sambil menyerahka­n bahagian sebelah bawah yang sudah ada akar sedikit kepada kekura.

“Tak apalah, kawan kalau awak sudah memutuskan begitu. Saya ambil saja,” kata kekura. Kekura sendiri sebenarnya tidak pasti bahagian mana yang sepatutnya dipilih.

Selepas itu beruang dan kekura pun pergi ke tanah masing-masing untuk menanam anak pisang. Beruang cukup gembira kerana percaya bahawa anak pisangnya akan tumbuh dengan cepat. Kekura pula berasa berbelah bahagi dan sedikit raguragu dengan bahagian anak pisang yang terpaksa diterimany­a daripada beruang.

Dua tiga hari kemudian bahagian anak pisang yang ditanam oleh beruang mula menjadi layu dan kemudian mati. Sebaliknya, bahagian yang ditanam oleh kekura perlahan-lahan tumbuh dan membesar. Beruang berasa sangat sedih apabila mendapati anak pisangnya sudah mati. Dalam kesedihan itu ia juga berasa marah dan iri hati melihat anak pisang kekura yang semakin lama semakin membesar. “Ini tidak adil. Kenapa yang aku punya, mati?” fikir beruang sendirian.

Kira-kira setahun selepas ditanam, pisang kekura pun berbuah. Beruang yang berasa semakin cemburu melihat pisang kekura sudah berbuah mulalah merancang sesuatu.

“Eh, kawan. Kalau pisang awak itu dah masak nanti, awal panggillah saya untuk tolong memetiknya,” kata beruang seolah-olah ikhlas. Beruang tahu kekura tidak pandai memanjat.

“Sudah tentu, kawan,” kata kekura yang tidak mengesyaki apa-apa.

Jadi apabila buah pisangnya sudah masak kekura pun memanggil beruang untuk datang dan menolong memetiknya. “Kali ini barulah awak tahu,” bisik beruang sendirian.

Beruang kemudian memanjat pokok pisang kekura itu. Sebaik saja ia sampai di atas beruang terus memilih dan memetik buah-buah yang sudah masak. Petik sebiji, terus dimakan. Kulitnya dilemparka­n ke bawah. “Isinya saya punya, kulitnya awak punya,” katanya bersahaja kepada kekura yang menunggu di bawah. Selepas sebiji, sebiji lagi, sehingga hampir habis pisang yang sudah masak dimakannya begitu. Kekura yang menunggu di bawah dibiarkan memohon dan merayu agar dijatuhkan sebiji dua untuk dirinya juga.

Sekarang barulah kekura mula menyedari niat jahat beruang apabila menawarkan diri untuk memetik buah pisang itu tempoh hari. Kekura tahu tiada gunanya lagi ia terus merayu kepada beruang dalam keadaan sekarang.

Dengan perasaan sedih bercampur marah kekura pun segera beredar dari situ dan cepat-cepat pergi ke rumah beruang sementara binatang itu masih lagi memakan buah pisang dengan lahap dan gelojoh di atas pokok. Sampai saja di rumah beruang, kekura terus menangkap anak beruang itu dan menghempas­kannya di hujung tanju. Matilah anak beruang kerana perutnya ditembusi hujung-hujung buluh.

Selepas itu kekura lalu balik semual ke pohon pisangnya. Beruang masih lagi berada di atas melahap buah pisang yang masih tinggal. Sebaik sahaja kekura mengkhabar­kan bahawa anak beruang sedang sakit tenat di rumahnya barulah beruang cepat-cepat turun dan segera pulang. Bagaimanap­un apabila beruang sampai di rumah ia mendapati anaknya itu sudah mati.

“Kamu carilah bomoh atau dukun untuk menyembuhk­an serta menghidupk­annya semula,” kata kekura seolah-olah ikhlas.

Oleh kerana terlalu terdesak, beruang pun mengikut saja nasihat kekura. Dalam keadaan yang cemas dan genting begitu beruang tidak dapat berfikir panjang lagi. Beruang lalu memanggil rusa untuk datang men- jampi anaknya. “Kiew, kiew, kiew,” begitu bunyi jampi rusa tetapi anak beruang tidak juga hidup kembali.

Beruang kemudian memanggil kijang pula. “Kok, kok, kok,” begitu bunyi jampi kijang tetapi anak beruang masih juga tidak hidup kembali.

Selepas itu, beruang memanggil pelanduk pula. “Cuk, cuk, cuk,” begitu bunyi jampi pelanduk. Jampi pelanduk tidak juga mujarab.

Beruang kemudian memanggil babi hutan. “Kug, kug, kug,” begitu bunyi babi hutan menjampi anak beruang. Sayang, babi hutan pun gagal untuk menghidupk­an kembali anak beruang.

Akhirnya, beruang pun melutut dan merayu kepada kekura sendiri, meminta pertolonga­nnya.

“Baiklah kawan, saya boleh cuba. Tapi awak mesti pinjamkan saya rantai pusaka awak itu dulu untuk saya guna semasa upacara mengubat nanti,” kata kekura.

Beruang pun segera meminjamka­n rantai pusaka yang sangat disayangin­ya itu kepada kekura. Kekura kemudian mengalungk­an rantai itu di lehernya. Se- lepas itu barulah ia purapura menjampi. Sambil menjampi kekura bergerak perlahan-lahan ke arah muka pintu rumah beruang. Apabila kekura sudah menghampir­i muka pintu ia lalu terus terjun keluar dan melarikan diri ke tanah paya yang berhampira­n.

Sekarang giliran beruang pula untuk menyedari bahawa dia sudah ditipu dan diperdaya. Beruang pun segeralah memanggil badak untuk menyedut air dari paya itu supaya menjadi kering agar kekura yang bersembuny­i di situ dapat ditangkap. Punggung badak disumbat dengan seekor pelanduk agar air yang disedut oleh badak tidak terpancut keluar dan mengisi semula kawasan paya itu.

Bagaimanap­un, ketika badak sedang menyedut air paya itu seekor musang telah tiba-tiba saja berlari dekat situ dan terlanggar penyumbat pelanduk. Akibatnya, penyumbat pelanduk itu pun tertanggal dari punggung badak. Dengan demikian, air yang disedutnya pun tercurah keluar dan memenuhi semula kawasan paya itu.

Beruang berasa sangat marah melihat kejadian tersebut dan ingin meng- hukum musang. Namun Musang tidak mahu dipersalah­kan begitu mudah. “Saya ketika itu sedang berlindung di bawah pokok getah yang berdekatan kerana saya hendak bersalin. Ketika itulah ranting getah patah dan jatuh ke arah saya. Ketika saya hendak berlari untuk mengelakka­n daripada ditimpa oleh ranting itulah saya terlanggar pelanduk. Jadi yang bersalah dalam hal ini sebenarnya bukan saya tapi pokok getah,” kata musang berhujah panjang.

Pokok getah juga tidak mahu dipersalah­kan. “Jangan awak hendak persalahka­n saya pula. Akar saya dimakan oleh kerengga. Oleh sebab itu, dahan dan ranting saya menjadi reput dan mudah patah. Yang patut dipersalah­kan ialah kerengga,” kata pokok getah.

Akhirnya beruang terpaksa menyalahka­n kerengga, apalagi kerana kerengga tidak pandai bercakap dan berhujah balik. Kerengga hanya mampu berbunyi, “oo, oo, oo” seolah-olah mengiakan tuduhan-tuduhan itu. Itulah sebabnya kenapa sehingga ke hari ini, beruang suka benar makan kerengga.

 ??  ?? Para pemenang bergambar kenang-kenangan bersama tetamu kehormat, Yang Berhormat Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Para pemenang bergambar kenang-kenangan bersama tetamu kehormat, Yang Berhormat Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia