Utusan Borneo (Sarawak)

Kekal semangat kesatuan, kerjasama komponen BN

Semangat inilah membawa kemenangan besar pada PRN lalu di bawah pimpinan Allahyarha­m Adenan: KM

- Oleh Patricia Gari

KUCHING: Semangat kesatuan dan kerjasama semua parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak mesti dikekalkan bagi memastikan BN di Sarawak terus kukuh serta kekal relevan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata semangat kesatuan dan kerjasama erat itulah yang membawa kemenangan besar kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu di bawah pimpinan Allahyarha­m Pehin Sri Adenan Satem.

“Sebagai pengerusi BN Sarawak, saya amat menghargai kesetiaan ahli PDP kepada parti dan kepada BN walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran dan rintangan.

“Inilah semangat yang harus dikekalkan lebih-lebih lagi dalam menempuh era untuk mengangkat Sarawak sebagai sebuah ekonomi digital dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang,” katanya menerusi teks ucapan yang dibaca Timbalan ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Abang Johari turut men- gucapkan tahniah kepada Pengerusi PDP Datuk Seri Tiong King Sing serta semua ahli parti sempena pelancaran logo dan nama baharu parti itu.

“Terima kasih kepada anda semua, walaupun ada perubahan pada logo dan nama parti, anda semua sentiasa kekal setia kepada parti dan BN.

“Marilah kita sama-sama terus mempertaha­nkan konsep perkongsia­n kuasa, konsultasi, saling menghormat­i dan bekerjasam­a dalam keluarga BN yang besar,” katanya.

Abang Johari berkata sebagai Ketua Menteri Sarawak beliau telah memikirkan cara terbaik untuk membangunk­an negeri ini kerana cara biasa tidak lagi mampu membawa Sarawak ke era ekonomi yang berlandask­an teknologi digital.

Kaedah ekonomi konvension­al berdasarka­n sumber katanya, tidak akan berupaya melonjakka­n ekonomi Sarawak ke tahap yang dinikmati negara- negara yang sudah maju seperti Estonia.

“Estonia adalah sebuah negara bekas jajahan Rusia yang kecil dan miskin tetapi telah mampu menjadi sebuah negara maju dalam tempoh yang agak singkat.

“Saya bersama rombongan dari negeri Sarawak telah melawat Estonia pada bulan lepas dan mempelajar­i bagaimana mereka boleh melonjak menjadi sebuah negara yang maju dengan memberi fokus kepada teknologi digital dalam kebanyakan urusan di negara berkenaan,” katanya.

Menurutnya sekarang dalam era ekonomi yang menjual perkhidmat­an hanya melalui aplikasi yang boleh dimuat naik dalam telefon bimbit dan boleh diakses di mana sahaja selagi masih ada talian Internet.

Oleh itu, ujarnya infrastruk­tur komunikasi dan multimedia di negeri ini mestilah berada pada tahap yang dapat menyokong aktiviti dalam ‘masa sebenar’ supaya e-dagang negeri boleh dilakukan dengan licin dan pantas.

“Bidang pertanian kita juga perlu menjalani satu transforma­si ke arah pertanian yang ‘profit-driven’, bukan lagi pertanian yang banyak sangat bergantung kepada subsidi dan bantuan kerajaan.

“Oleh itu, kita mahu merubah kaedah menyampaik­an bantuan dalam bentuk subsidi kepada kaedah penyediaan ‘venture capital’ kepada para petani kita,” kataya.

Beliau memberitah­u, bagi tujuan itu kerajaan negeri menyediaka­n peruntukan RM100 juta untuk tujuan menyediaka­n modal kepada para petani, nelayan atau penternak yang nanti akan dibayar ‘at par value’ iaitu RM1 dibayar balik RM1.

“Saya sudah menyatakan beberapa kali bahawa Sarawak perlu menentukan masa depannya sendiri. Kita tidak boleh bergantung atau mengharapk­an sangat kepada orang lain untuk menghulurk­an bantuan kepada kita.

“Jika ada bantuan dihulurkan kita mengucapka­n terima kasih namun kita sendiri perlu menentukan masa depan kita sendiri,” tegasnya.

 ??  ?? SIMBOLIK: Uggah mewakili Ketua Menteri berjabat tangan dengan Tiong pada majlis berkenaan.
SIMBOLIK: Uggah mewakili Ketua Menteri berjabat tangan dengan Tiong pada majlis berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia