Vardy pertahan tindakan Drinkwater tolak panggilan Southgate
LONDON: Jamie Vardy menegaskan Danny Drinkwater tidak mempedulikan England selepas bekas rakannya dalam pasukan Leicester City itu menolak peluang untuk bermain dalam beberapa perlawanan persahabatan bersama pasukan kebangsaan sekarang.
Drinkwater dituduh menghampakan pengurus England Gareth Southgate pada minggu lepas apabila dia menarik diri dari skuad bagi perlawanan menentang Jerman dan Brazil.
Pemain tengah Chelsea itu berkata dia tidak rasa cergas sepenuhnya setelah meng- hadapi kesukaran untuk pulih daripada masalah betis yang mencemari permulaan waktunya bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut.
Ia bukan kali pertama Drinkwater menarik diri daripada tugasan England dan komitmennya kepada perjuangan telah dipersoalkan oleh segelintir pihak.
Namun Vardy, yang memenangi kejuaraan EPL bersama Drinkwater di Leicester dua tahun lalu, bertegas menyatakan pemain berusia 27 tahun itu masih terdesak untuk bermain bagi England.
“Saya rasa dia memang mahu bermain untuk negaranya tetapi, sejujurnya, dia sedang bergelut untuk mendapatkan sedikit masa bermain,” kata Vardy.
“Dia cedera dan dia perlu mengembalikan ketajaman dalam perlawanan. Dia telah berbuat demikian sejak beberapa minggu lalu untuk Chelsea dan dia perlu terus membina perkara itu.
“Dia ternyata ada peluang untuk memasuki skuad bila dia cergas. Jika dia bermain sebaik mungkin, kenapa tidak?
“Dia dijangka ada peluang tetapi ia terpulang kepadanya untuk memastikan dia mempamerkan prestasi yang baik.”
Drinkwater dilaporkan kecewa kerana keputusannya untuk tidak bermain dalam perlawanan persahabatan telah dianggap sebagai satu penghinaan dan dia merancang untuk membuktikan dia dapat memenangi semula tempatnya bagi Piala Dunia pada tahun depan di Rusia.
Drinkwater, yang menyertai Chelsea dengan harga 35 juta pound (RM192.5 juta) pada hujung Ogos lalu, membuat hanya dua penampilan sahaja sebagai pemain gantian dalam EPL.
Dia menerima lebih banyak rawatan selepas dia memburukkan lagi masalah betis apabila dia dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kemenangan Chelsea ke atas Manchester United pada 5 November lepas.
Tanpa Drinkwater, Ruben Loftus-Cheek bermain dengan mengagumkan di bahagian tengah apabila England seri 0-0 dengan juara dunia Jerman pada Jumaat lepas.
Anak buah Southgate menentang Brazil di Wembley pada hari ini (Selasa) dan Vardy berharap mereka dapat mengekalkan momentum daripada persembahan positif ketika menentang Jerman.
Walaupun menurunkan pasukan muda termasuk tiga pemain yang tampil buat julung kalinya, Loftus-Cheek, Tammy Abraham dan Jordan Pickford, England tidak gentar dengan tentangan kelas tertinggi.
Usaha menggalakkan itu berbeza sekali berbanding penyingkiran England yang menyedihkan dari Euro 2016 ketika menentang Iceland di bawah bekas pengurus Roy Hodgson.
“Saya rasa kita sememangnya perlu belajar daripada itu,” kata Vardy. — AFP