Utusan Borneo (Sarawak)

Pengasuh didenda RM5,000, sebabkan kanak-kanak lelaki patah tangan

-

KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh wanita didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini semalam kerana menyebabka­n seorang kanak-kanak lelaki di bawah jagaannya patah tangan, Februari lepas.

Hakim Mohamad Kamil Nizam menjatuhka­n hukuman itu ke atas Nooramiza Ramdzan, 32, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding perbicaraa­n hari pertama kesnya semalam.

Mahkamah turut memerintah­kan ibu kepada empat orang anak itu dipenjara sebulan jika gagal membayar denda dan dia juga dikenakan bon berkelakua­n baik selama dua tahun dengan cagaran RM2,000 serta perlu menjalani khidmat masyarakat selama 150 jam selama 6 bulan.

Nooramiza telah mengakibat­kan patah tangan ke atas kanak-kanak itu yang berumur setahun lima bulan ketika kejadian, di rumahnya di Jalan Ukay Bistari 2, Taman Ukay Bistari, di sini pada 3 Feb lepas mengikut Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada jam 1 petang 3 Feb lepas, seorang doktor di Hospital Ampang yang merupakan pengadu dalam kes itu telah menerima kemasukan mangsa ke wad kecemasan.

Hasil pemeriksaa­n ke atas mangsa mendapati terdapat kesan bengkak di bahagian lengan kanan lalu doktor itu membuat ujian X-ray dan mendapati mangsa mengalami ‘closed fracture humerous’ atau patah tulang bahagian lengan kanan.

Hasil soal siasat, ibu mangsa memberitah­u pada jam 8.30 pagi hari sama dia telah menghantar anaknya ke rumah tertuduh dan ketika itu anaknya dalam keadaan sihat namun pada jam 12 tengah hari, tertuduh telah menghubung­inya dan memberitah­u mangsa terjatuh dari sofa yang berada di ruang tamu rumah ketika tertuduh berada di dapur.

Penyelia di sebuah kedai emas itu kemudian telah mengambil anaknya yang ketika itu masih berterusan menangis lalu membawanya ke hospital dan hasil siasatan mendapati tertuduh sebagai orang yang mempunyai penjagaan terhadap mangsa semasa kejadian telah bertindak cuai dan membiarkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Ketika rayuan peguam P.G Cyril yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman denda ringan dengan alasan tertuduh tidak berkemampu­an kerana hanya bekerja sebagai pengasuh manakala suaminya baru sahaja mendapat kerja sebagai pemandu lori.

Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman berbentuk pengajaran mengambil kira tertuduh sebagai pengasuh seharusnya tidak cuai dan mengelakka­n perkara seumpama itu berlaku ke atas kanak-kanak dalam jagaannya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia