Utusan Borneo (Sarawak)

SKOWT beri peluang artis baharu tonjol bakat

-

SERAMAI 60 orang artis baharu telah mendaftark­an diri dalam aplikasi Skowt yang dilancarka­n pada Julai lepas, iaitu satu platform untuk memperkena­lkan bakat mereka dalam industri muzik tanah air.

Skowt adalah, sebuah aplikasi yang dimulakan di London pada April tahun lepas bagi membantu artis dan artis berkumpula­n sama ada dalam dan luar negara memasarkan lagu dan kumpulan mereka ke peringkat yang lebih tinggi dan dikenali.

Ketua Pencarian Bakat (Head of Talent) Skowt Malaysia Khairuddin Aziz berkata aplikasi tersebut diwujudkan bagi membantu mereka yang berbakat tetapi tidak mempunyai platform untuk mengetenga­hkan bakat mereka.

“Kami sediakan platform terbaik dan kita akan terus hubungkan (direct) mereka kepada label record, majlis-majlis untuk buat persembaha­n, televisyen dan juga radio. Ia lebih menyenangk­an dalam satu platform dengan semua pengurusan ada,” katanya kepada Bernama selepas ditembual dalam rancangan Nine11 terbitan Bernama News Channel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Khairuddin yang juga Pengasas Bersama (CoFounder) Skowt berkata sehingga kini lebih kurang 250 artis baharu dalam dan luar negara telah mendaftar masuk di aplikasi tersebut.

“Kawan saya memulakan aplikasi ini di London, dan di Malaysia kita baru mulakan operasi Julai lalu. Ia beroperasi seperti apliksi ‘Spotify’ cuma di situ pelanggan atau peminat hanya boleh mendengar lagu, tetapi kami lebih kepada pengurusan. Kepada yang berminat boleh muat turun aplikasi Skowt di iTunes atau Google Play atau layari laman web www. skowt.it untuk maklumat lanjut.

“Dalam aplikasi itu mereka boleh memuat naik lagu ciptaan mereka serta profil mereka dan sekiranya bagus, pengurusan kami akan menghubung­i mereka untuk ke peringkat seterusnya. Kami juga ada Skowt Foundation di mana setiap tahun kita ada RM20,000 untuk diberikan kepada tiga orang artis pilihan yang betul-betul bagus untuk mereka merakamkan lagu atau sebagai platform kepada mereka mengetenga­hkan bakat mereka,” katanya.

Khairuddin, yang juga Ikon Negaraku (Aktivis Bebas Dadah) dan Ikon Selangor berkata selain merekrut artis baharu, Skowt juga mempunyai misi untuk mengembang­kan bakat remaja-remaja yang kurang bernasib baik sebagai program sosial mereka.

“Kami pergi ke Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk mencari bakat baharu. Ramai sebenarnya yang berbakat yang boleh menyanyi, buat lagu sendiri, cuma mereka tiada dana, bantuan dan mentor yang boleh membimbing mereka. Sasaran kami belia, bekas penagih dadah dan juga ibu tunggal yang berbakat.

“Misi kami untuk membebaska­n mereka daripada dadah. Kebanyakka­n mereka yang terlibat mesti ada masalah psikologi, tertekan dan negatif, dan jsaya hendak mencuba mewujudkan elemen positif untuk boleh bantu dan bimbing mereka. Sokongan masyarakat sangat penting bagi golongan seperti ini,” katanya.

Salah seorang artis baharu yang bernaung di bawah Skowt, Noor Hazril Mohd Sidek, 34 berkata Skowt telah membuka peluang kepadanya untuk kembali ke industri muzik selain memberinya peluang untuk memberi kesedaran mengenai bahayanya dadah kepada generasi muda.

“Skowt memberi platform terbaik untuk saya memulakan semula kerjaya muzik saya. Skowt menguruska­n aktiviti saya dan memberi saya peluang untuk membuat persembaha­n dan juga membantu menghasilk­an single pertama saya yang bertajuk ‘Ibu’.

“Lagu itu adalah ciptaan sepenuhnya oleh saya sejak 2006 tetapi baru kini ia dapat dihasilkan,” katanya yang merupakan lepasan Diploma Persembaha­n Muzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan pada 2006.

Hazril atau lebih dikenali dengan nama pentas Oyent Hazryl berkata selain membantuny­a dalam bidang muzik, Skowt juga memberinya peluang untuk mengajar muzik dan memberikan pendedahan mengenai dadah kepada generasi muda dalam program yang dianjurkan Skowt.

“Saya sendiri mempunyai pengalaman yang teruk dengan najis dadah ini dan sekarang selepas pulih saya bertekad untuk membantu dan berkongsi pengalaman saya mengenai dadah. Ia bukanlah perkara ringan dan senang untuk berhenti. Saya hendak terapkan walaupun kita pemuzik, tidak semestinya kita perlu mengambil dadah untuk bermain muzik,” katanya.

— Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia