Utusan Borneo (Sarawak)

Sentimen perniagaan syarikat Jepun ke atas Malaysia meningkat: JACTIM

-

KUALA LUMPUR: Sentimen perniagaan syarikat Jepun ke atas Malaysia menjadi positif buat pertama kali dalam tiga tahun, demikian menurut kajian oleh Dewan Perdaganga­n dan Perindustr­ian Jepun di Malaysia (JACTIM).

Dalam satu kenyataan kelmarin, JACTIM berkata, kajian yang dijalankan ke atas 546 syarikat anggotanya antara 2 Ogos dan 22 September 2017, mengunjurk­an yang sentimen perniagaan akan terus meningkat pada 2018.

“Sentimen perniagaan mencatat peringkat pemulihan untuk pertama kali dalam tempoh tiga tahun sejak separuh kedua 2014.

“Kesan turun naik pertukaran asing ke atas perniagaan semakin berkuranga­n dan sentimen perniagaan syarikat Jepun di Malaysia akan terus meningkat secara sederhana,” katanya.

JACTIM berkata, kajian itu menunjukka­n kekurangan tenaga kerja masih melanda industri tersebut, dengan banyak syarikat mengalami kerugian disebabkan sekatan dalam pengambila­n pekerja asing.

JACTIM percaya, syarikat Jepun di Malaysia boleh memberi sumbangan kepada matlamat Malaysia menjadi negara berpendapa­tan tinggi menjelang 2020.

“Ketika sektor pembuatan kekal menjadi tulang belakang ekonomi Malaysia yang cergas, syarikat Jepun digalak untuk mengembang­kan operasi semasa mereka dan melabur dalam sektor ini.

“Walaupun perubahan berterusan dalam persekitar­an ekonomi domestik dan antarabang­sa, kerajaan Malaysia terus menyokong dan mempromosi sektor pembuatan dengan dasar dan strategi pelaburan yang kukuh,” tambahnya.

JACTIM berkata, Malaysia lebih jauh ke depan berbanding negara jiran dengan penduduk muda yang ramai dengan penguasaan bahasa Inggeris yang baik, penyelidik­an dan pembanguna­n (R&D) serta infrastruk­tur sosial yang baik.

“Faktor berkenaan telah menarik industri pengeluara­n dan perkhidmat­an Jepun bagi menjalanka­n operasi di Malaysia,” katanya.

Ketika Malaysia berhasrat untuk diiktiraf sebagai negara maju, JACTIM mencadangk­an kerajaan menambah baik persekitar­an harta intelek sebagai sebahagian daripada dasar bagi menarik lebih banyak projek R&D. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia