Utusan Borneo (Sarawak)

Gempa bumi di tenggara Korea Selatan

-

SEOUL: Gempa bumi berukuran 5.4 yang jarang sekali berlaku melanda tenggara Korea Selatan pada petang semalam, gempa kedua paling kuat dalam rekod, di sebuah negara yang jarang mengalami gegaran signifikan.

Gempa itu, yang dirasai di kebanyakan tempat di negara itu termasuk di ibu negara Seoul, berlaku pada kedalaman sembilan kilometer yang cetek dekat kota perindustr­ian tenggara Pohang sekitar jam 2.30 petang ( waktu tempatan), kata Pentadbira­n Meteorolog­i Korea.

Semenanjun­g Korea jarang sekali perlu bimbang mengenai gempa signifikan.

Namun aktiviti seismik dipantau dengan dekat kerana peningkata­n aktiviti selalunya adalah petunjuk pertama bahawa Korea Utara telah melancarka­n ujian nuklear.

Kota pelabuhan Pohang di Korea Selatan menempatka­n ibu pejabat Posco – pembuat keluli utama di negara itu dan keempat terbesar di dunia. Tiada kerosakan segera dilaporkan di kilang keluli syarikat.

Gambar dan rakaman video yang dihantar ke stesen TV tempatan menunjukka­n tembok jalan yang runtuh dan perabot bergoyang dengan kuat di dalam rumah orang dan orang berlari keluar dari bangunan dalam keadaan panik.

Tiada laporan segera diterima mengenai kecederaan.

Imej yang dikongsi para pengguna dalam media sosial menunjukka­n bahagian depan kedai yang musnah, barang yang terjatuh dari rak, kereta dihempap tembok dan dinding yang roboh, dan rekahan tanah.

Pusat kecemasan di seluruh negara dibanjiri ribuan panggilan yang meminta maklumat, manakala Kakao Talk aplikasi permesejan mudah alih utama di Korea Selatan yang digunakan 42 juta orang, melaporkan gangguan dalam perkhidmat­an disebabkan oleh kesesakan trafik.

Presiden Korea Selatan Moon Jae- In, dalam perjalanan­nya ke Seoul selepas menghadiri sidang kemuncak ASEAN di Manila, dijadual mengadakan mesyuarat tergempar selepas beliau tiba, kata pejabatnya.

Reaktor nuklear tempatan beroperasi tanpa gangguan, kata agensi berita Yonhap, yang memetik pegawai dari loji tenaga Korea Hydro and Nuclear Power.

Gempa bumi paling kuat yang pernah direkodkan di Korea Selatan adalah gegaran berukuran 5.8 magnitud yang melanda bandar tenggara Gyeongju pada September tahun lepas namun tiada kerosakan besar atau banyak kematian berlaku. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia