Utusan Borneo (Sarawak)

Kadar agihan dividen FELCRA bergantung keluasan, kos tanah

-

KUCHING: Kadar agihan dividen Felcra Berhad ( FELCRA) adalah berdasarka­n kepada keluasan pegangan tanah peserta, hasil keluaran, kos operasi dan kos pembanguna­n semasa.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembanguna­n Wilayah berkata demikian ketika membentang­kan ucapan penggulung­an pada persidanga­n Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini, semalam.

Beliau berkata, untuk makluman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, FELCRA Kawasan Matu mempunyai 14 projek dengan keluasan 1,025 hektar.

“Untuk projek Tanjung Jol bagi FELCRA Kawasan Matu, pegangan terbesar peserta pada tahun lalu adalah 15.97 hektar dengan dividen sebanyak RM25,000 manakala pegangan terendah dicatatkan RM134.86 setahun dengan pegangan tanah seluas 0.0861 hektar.

“Purata dividen pada tahun 2016 yang diberikan kepada peserta FELCRA kawasan Matu ialah sebanyak RM1,055 sehektar setahun,” jelasnya.

Menurut beliau, usia pokok sawit di ladang ini adalah di antara 21 hingga 25 tahun.

“Pada usia ini, hasil Buah Tandan Sawit (BTS) segar semakin berkuranga­n. Secara puratanya, hasil BTS sehektar adalah antara 10 hingga 14 tan metrik setahun berbanding dengan 25 tan metrik setahun pada usia 15 hingga 20 tahun,” ujarnya.

Sementara itu, bagi makluman ADUN Sadong Jaya, Uggah berkata, purata dividen untuk sehektar bagi Projek FELCRA Kawasan Asajaya Kampung Pelanduk di dalam DUN Sadong Jaya, pegangan terbesar peserta dicatatkan sebanyak 23.76 hektar.

“Peserta ini telah menikmati pulangan dividen sebanyak RM28,172.74 pada tahun 2016, manakala yang paling rendah ialah RM415.07 setahun dengan pegangan tanah seluas 0.35 hektar,” katanya.

“Purata dividen pada tahun 2016 yang diberikan kepada peserta FELCRA Kawasan Asajaya ialah RM518.00 sehektar setahun. Berbanding dengan purata Sarawak iaitu sebanyak RM1,456 sehektar setahun,” tambah beliau lagi.

Jelas Uggah, purata dividen yang rendah di FELCRA Asajaya berbanding purata agihan dividen Sarawak adalah disebabkan penguranga­n hasil BTS.

“Ia disebabkan pokok di ladang sedang mengalami proses pemulihan selepas serangan sejenis serangga makhluk perosak iaitu Tirathaba Mundella ( sejenis serangga yang menyebabka­n pembentuka­n buah tidak sempurna dan menjejaska­n berat serta kualiti BTS).

“Serangan Tirathaba Mundella bukan hanya berlaku di ladang FELCRA malah ia turut berlaku kepada estet swasta lain khusus di tanah gambut. Proses pemulihan dan pencegahan bermula pada 2016 ini mengambil masa dua tahun untuk pulih sepenuhnya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia