Utusan Borneo (Sarawak)

Lulusan pengajian Islam tempatan diberi keutamaan isi kekosongan

-

KUCHING: Lulusan pengajian Islam di peringkat ijazah dan diploma tempatan akan diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan bagi mengajar subjek tersebut di sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri.

Bagaimanap­un, tegas Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidik­an Teknologi Dr Annuar Rapaee meskipun keutamaan diberikan kepada anak tempatan, namun hanya mereka yang berkelayak­an serta menepati kriteria akan diambil bagi mengisi kekosongan ini.

“Kita tidak akan berkomprom­i dalam soal kelayakan serta kriteria ini kerana mereka yang akan kita ambil untuk mengisi kekosongan ini akan mengajar serta menjamin masa depan anak-anak kita.

“Jadi kita akan memanggil mereka yang mempunyai kelayakan untuk sesi temu duga mengikut prosedur lazim sebelum mereka ditempatka­n di sekolah- sekolah rendah dan menengah untuk mengajar subjek berkaitan agama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima senarai nama lulusan dalam pengajian Islam di peringkat ijazah dan diploma tempatan yang diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Terdahulu Juanda ketika ditemui meminta kerajaan negeri berusaha dengan kerajaan pusat untuk mengutamak­an anak-anak tempatan bagi mengisi kekosongan guru-guru agama di sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

“Saya telah meminta graduan agama mengumpul senarai nama sebagai langkah proaktif kita untuk membantu kementeria­n mengenal pasti graduan agama di Sarawak yang boleh dipertimba­ng bagi mengisi kekosongan bagi mengajar subjek agama di sekolah rendah dan menengah.

“Hasrat kita adalah untuk memastikan graduan agama kita mendapat tempat serta peluang pekerjaan di tempat sendiri dan bukannya diberikan kepada orang luar,” katanya menambah seramai 344 lulusan ijazah dan diploma berjaya dikenal pasti dan jumlah ini mungkin lebih ramai.

“Memandangk­an kita kini mendapatka­n penurunan kuasa, maka kita juga mahu urusan agama diuruskan oleh negeri sebab kita ada struktur kita sendiri dalam hal melibatkan agama,” katanya.

Dengan jumlah lulusan agama yang ramai di negeri ini, Juanda mahu kerajaan mempertimb­angkan supaya kekosongan bagi mengajar subjek ini diisi oleh anak tempatan sebelum dibuka kepada orang luar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia